AMIRUDDIN LEBIH ‘JANTAN’ DARI MAHFUZ

KOTA BHARU – Pas secara sinis menjelaskan tindakan Adun Anak Bukit, Amiruddin Hamzah yang bertindak keluar parti dilihat lebih ‘jantan’ berbanding dengan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan Ketua Pembangkang Dun Kedah itu langsung tidak mengejutkan Pas.

“Secara jujurnya kita beritahu, berita ini tidak mengejutkan kita dan dalam jangkaan Pas.

“Saya ucap tahniah kerana dia (Amiruddin) lebih ‘jantan’ dari Pokok Sena (Mahfoz Omar). Dia sampai sekarang pun tidak berani keluar Pas,” katanya.

Ketika ditanya mengenai lafaz Baiah yang diikrarkan pemimpin itu, Mohd Amar berkata, Amiruddin perlu menanggung sumpah yang dibuat walaupun tidak melibatkan taklik.

“Negeri lain baiah saja, baiah untuk kekal dengan parti, tidak keluar dari parti dan baiah ini besar sebab dimulakan dengan lafaz wabillahi, watallahi, siapa langgar, dia kena tanggung.

“Sebab itu Timbalan Presiden Pas nasihat supaya ingat tentang Baiah, sebab baiah ini dia dengan Tuhan, kita manusia tidak dapat ambil tindakan apa-apa,” katanya.

– Sinar Harian

.