Perkara itu disuarakan oleh Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwandin Hamzah yang mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap portal berkenaan, meskipun banyak laporan telah dibuat.

Azwanddin menegaskan, tindakan perlu diambil memandang­kan portal berkenaan didapati sering menyiarkan laporan yang bukan sahaja mempunyai unsur fitnah, tetapi pada masa sama mengelirukan umat Islam.

“Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa terutamanya SKMM mengenakan tindakan tegas dan drastik kepada Malaysiakini sebagaimana yang telah diambil terhadap Malaysian Insider suatu ketika dulu.

“Sekiranya tiada tindakan diambil, saya khuatir portal itu akan terus menyiarkan laporan bersifat menghasut kepada rakyat untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, banyak pihak terutamanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap Malaysiakini berikutan laporan potral itu yang didakwa diputar belit.

Terbaharu, portal berita itu juga didakwa menerima pembiayaan daripada hartawan Amerika Syarikat (AS), George Soros dalam program mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang.

Mengulas lanjut, Azwandin berkata, beliau bimbang sekira­nya tiada tindakan tegas dikenakan terhadap portal itu, situasi akan menjadi lebih teruk pada masa depan.

“Kalau kita teliti laporan yang disiarkan di Malaysiakini, antara perkara yang sering menjadi ‘serangan’ mereka ialah isu-isu berkaitan agama Islam. Sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam sendiri.

“Bukan itu sahaja, banyak lagi laporan lain yang diputar belit oleh portal ini. Perkara seperti ini hanya akan menyebabkan perpe­ca­han dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan memburukkan situasi negara,” jelas beliau.

Sebelum itu, JMM bersama Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Dang Wangi di sini bagi menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan berhubung pembabitan pengarah perbankan, John Pang dan Soros dalam membiayai gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.

Azwandin berkata, sebanyak 24 helaian dokumen sulit diserahkan kepada polis mengenai pembabitan dua individu itu dalam membiayai sumber kewangan kepada kumpulan Bersih menerusi Open Society Foundation (OSF).

Katanya, pihaknya juga akan menghantar lebih 20 nama melibatkan beberapa pemimpin pembangkang yang terlibat dengan Bersih kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara bagi tujuan siasatan.

UTUSAN

.