AMARAN NAJIB DAH PUN JADI KENYATAAN, KATA LIM

Amaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia boleh menjadi sebuah negara gagal, sebenarnya sudah pun menjadi realiti, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, Lim berkata Malaysia menjadi negara gagal bukan kerana kurang perpaduan atau keharmonian tetapi disebabkan ia telah menjadi ‘kleptokrasi global’.

“Adakah Najib sedar Malaysia telah mengambil langkah pertama menjadi sebuah negara gagal apabila kita menjadi kleptokrasi global, tanpa ada rasa bersalah atau penyesalan, sama ada oleh kabinet atau parlimen?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim mempersoalkan langkah yang dilakukan Najib untuk membersihkan imej negara yang memalukan itu.

Justeru, beliau sekali lagi mempelawa Najib menghadiri sidang meja bulat “Selamatkan Malaysia” pada Selasa depan berhubung soal integriti dan tadbir urus yang baik di Malaysia.

Najib sebelum ini menjadi subjek laporan antarabangsa selepas menerima sekurang-kurangnya RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya.

Perdana menteri menafikan wang itu berasal daripada 1MDB dan mendakwa ia adalah “derma” daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Semalam, media melaporkan Najib memberi amaran “negara akan gagal” tanpa perpaduan dan kehormanian kaum ketika merasmikan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Menggunakan analogi pokok damar minyak yang ditanamnya di FRIM pada 2004, Najib berkata pokok itu dijaga dan dibaja dengan baik sehingga menjadi sebatang pokok yang besar dan kukuh.

“Jangan sekali-kali kita tebang pokok yang kita dah tanam ini, sebab kalau kita tebang, bagi anai-anai makan, pokok rebah dan tumbang, kita tidak ada tempat berteduh (dan keadaan itu akan) menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagal,” katanya.

– M’kini

.