AMANAT HADI BOLEH CETUSKAN LEBIH BANYAK ‘MEMALI’, KATA RAHIM NOOR

MALAYSIA bernasib baik kejadian di Memali tidak berulang atau merebak di tempat-tempat lain kerana ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dikenali sebagai Amanat Hadi sudah mempengaruhi banyak orang pada ketika itu, kata bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor.

Katanya, Amanat Hadi itu bukan saja mempengaruhi guru agama Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya tetapi banyak lagi pemuda parti Islam itu.

“Dia (Hadi) menghasut apabila dia kata kalau kita terkorban dalam perjuangan melawan Umno sebagai sebuah parti yang mengamalkan dasar-dasar penjajah, mati kita mati syahid.

“Alhamdulillah, yang berlaku hanya Ibrahim Libya. Kalau meletup sana-sini, Ibrahim Libya Johor, Ibrahim Libya Pulau Pinang dan tempat-tempat lain, habis negara kita, habis polis.

“Nasib baik ada satu saja Ibrahim Libya, kerana Amanat Hadi ini terlalu keras dan menghasut,” kata Rahim dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.

Rahim sebelum ini mengatakan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas peristiwa Memali hanya akan mendedahkan peranan Hadi sebagai punca tragedi yang membunuh 18 nyawa itu.

Kenyataannya itu dibidas oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yang meminta Rahim tutup mulut daripada sibuk mencampuri urusan politik dan bercakap soal keselamatan negara kerana bekas ketua polis negara itu malah gagal mengawal keselamatan di balainya sendiri.

Idris merujuk kepada penglibatan Rahim dalam kes mata lebam Anwar Ibrahim pada September 1998. Rahim bagaimanapun menjawab beliau hanya menyatakan fakta dan bukannya hendak campur tangan soal politik.

Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada ketika itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik orang Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.

Semasa peristiwa Memali pada 19 November, 1985, Rahim merupakan ketua polis Selangor. Beberapa bulan kemudian beliau dilantik sebagai ketua polis Sabah pada 1986 dan pada tahun yang sama, dipindahkan ke Bukit Aman sebagai Pengarah Cawangan Khas.

Selepas menjadi pengarah cawangan khas, antara fail awal beliau semak ialah peristiwa Memali yang berlaku “tiga, empat bulan sebelumnya” kerana ketika itu insiden terbabit masih lagi panas.

Rahim turut diberikan taklimat oleh timbalan pengarah Cawangan Khas yang memantau gerakan radikal Islam di Malaysia pada ketika itu.

Rahim berkata selain Ibrahim Libya, ada tiga orang lagi anggota sayap Pemuda PAS yang terpengaruh dengan Amanat Hadi.

“Saya tak mahu sebut nama sebab nanti orang marah. Mereka ini mempunyai kecenderungan terpengaruh juga.

“Tetapi polis berjaya menangkap tiga orang ini dan tak berlaku kecoh. Mereka ditangkap dua tiga bulan sebelum itu,” katanya.

Rahim, ketua polis negara dari 1994 hingga 1999, mengulangi kenyataannya kepada The Malaysian Insight sebelum ini apa yang dilakukan Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya bukanlah arahan rasmi daripada PAS.

“Malahan bukan Hadi yang mengarahkan Ibrahim Libya untuk bertindak sedemikian tetapi beliau yang terpengaruh dengan ucapannya.

“Tetapi PAS juga tidak mencegah Ibrahim dan pengikutnya untuk bertindak demikian, setakat yang saya tahulah. Kalau ada cegah secara tertutup saya tidak tahu,” katanya.

Rahim menambah, selepas peristiwa Memali, PAS mengisytiharkan Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya yang terkorban sebagai syuhada.

Patutkah Dr Mahathir disalahkan?

Rahim berkata beliau tidak fikir insiden Memali ini sengaja dicipta oleh mana-mana ahli politik baik Dr Mahathir Mohamad mahupun Musa Hitam.

Dr Mahathir ketika itu perdana menteri manakala Musa timbalannya serta memegang portfolio menteri dalam negeri.

“Saya tak fikir ada ahli politik tidak kira apa ideologinya yang tidak berperikemanusiaan seperti dikatakan.

“Ini melibatkan nyawa orang ramai. Polis pun mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang, mengikut keadaan, seperti yang disebut dalam kertas putih,” katanya.

Menurut Rahim, berdasarkan pengalamannya, dalam keadaan tegang seperti di Memali 32 tahun lalu itu, polis tidak ada masa untuk menghubungi perdana menteri meminta kebenaran memulakan tembakan.

“Bagi mereka yang cuba mengaitkan Dr Mahathir dengan Memali, mengapa mereka tidak tanya, mengapa Ibrahim Libya jadi macam ini?

“Menentang pihak berkuasa dan mempengaruhi orang awam untuk menentang kerajaan,” katanya.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat semula peristiwa itu sekiranya terdapat permintaan. PAS menyambut baik kenyataan Zahid itu. –

– https://www.themalaysianinsight.com

.