AMANAH YAKIN LAKAR KEJUTAN DI KEPALA BATAS

KEPALA BATAS – Amanah yakin dapat melakar kejutan di Kepala Batas pada PRU14 biarpun sedar bahawa parlimen ini merupakan kubu kuat Umno dan BN.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria berkata, Harapan khususnya Amanah yakin masyarakat di kawasan Parlimen itu mahukan perubahan dalam PRU14 ini.

“Kepala Batas merupakan kawasan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan boleh dikatakan ia merupakan kawasan yang seringkali ada menteri dan kini Ahli Parlimennya juga seorang Timbalan Menteri.

“Namun, Amanah optimis dalam soal ini, sekali gus yakin perubahan akan berlaku dalam PRU14 ini, masyarakat akan lakukan perubahan, dan tidak ketara saya katakan, Amanah bakal lakar kemenangan di parlimen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Walk About Penyampaian Limau kepada masyarakat Kepala Batas di sekitar kawasan pawagam lama, di sini semalam.

Katanya, masyarakat kini tertekan dengan kos sara hidup yang agak meningkat di samping, kenaikan harga barang.

“Masyarakat rata-ratanya mengeluh mengenai keadaan hidup semasa, disamping harga barang yang tinggi.

“InsyaALLAH, sekiranya diberi peluang, kita akan utamakan masyarakat dahulu, kita akan buat yang sebaiknya untuk masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dalam soal pembangunan Kepala Batas berada dalam keadaan yang baik dan dalam soal ini, Harapan secara amnya yakin akan memberikan yang lebih lagi kepada masyarakat di situ.

– Sinar Harian

.