Amanah umum sokong Bersih 5

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengumumkan menyokong penganjuran Himpunan Bersih 5 pada 19 November depan.

Menurut Presidennya, Mohamad Sabu atau Mat Sabu, demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman tidak akan membawa kepada huru-hara atau malapetaka kepada mana-mana negara.

Malah katanya, ia bukan perkara luar biasa kerana ada negara maju yang membenarkan rakyatnya berdemonstrasi atau tunjuk perasaan tanpa kekerasan.

“Di antara negara yang rakyatnya selalu berdemonstrasi termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman dan hampir seluruh negara EU. Jepun, Taiwan, Hong Kong, Thailand, Indonesia juga tidak ketinggalan meraikan ruang demokrasi ini.

“Rakyat di negara-negara ini selalu keluar secara beramai-ramai menyatakan ketidaksukaan mereka terhadap sesuatu perkara atau sesuatu isu yang dilakukan oleh pemimpin di negara mereka, atau tunjuk perasaan terhadap kuasa besar atau mana-mana negara lain yang mengancam negara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, perhimpunan aman bukanlah faktor penentu turun naik jumlah kedatangan pelabur ke negara ini.

“Pelabur-pelabur sentiasa datang kerana mereka tahu negara tersebut aman dan rakyat sentiasa diberi peluang untuk bertindak tanpa mengangkat senjata.

“Sebaliknya, negara-negara diktator yang tidak mengizinkan demonstrasi aman dan berakhir dengan peristiwa berdarah berlaku di negara-negara timur tengah. Negara itu tidak disukai oleh para pelabur,” katanya lagi. – Sinar Harian