Amanah Tuntut Abdul Hadi Perjelas RUU Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya memberi penjelasan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang dibentangkannya di Dewan Rakyat pada Mei lalu.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendakwa, RUU itu tidak jelas dan mengelirukan, malah ia dilihat tidak boleh memperkasakan Mahkamah Syariah.

Khalid berkata, Biro Undang-Undang (Kanun) parti itu akan menghantar surat menuntut  Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang itu menjawab persoalan berbangkit.

“Kita akan serah surat hari ini kepada PAS dan YB  Marang. Kita beri tempoh kepada beliau memberi penjelasan sehingga akhir bulan ini,” kata Khalid pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di sini, Selasa.
Awal bulan ini, Amanah mempersoalkan kekeliruan berhubung RUU itu selain cadangan meningkatkan hukuman yang jelas menimbulkan ketakutan dan salah faham di kalangan rakyat.

Berita selanjutnya akan menyusul. – Mstar

.