AMANAH TIDAK FIKIR CALON, TAPI TETAP FOKUS PRU

PONTIAN – Parti Amanah Negara (Amanah) akan melancarkan jentera pilihan raya dan Pusat Khidmat Peduli Rakyat di semua Dun dan Parlimen di Johor sebelum akhir Januari ini.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, langkah yang diambil itu membuktikan Amanah begitu serius terhadap kemenangan di Johor pada pilihanraya akan datang dan bukannya cakap kosong.

Tegasnya, sebagai rakan dalam Pakatan Harapan, Amanah tidak akan mengganggu kawasan yang telah ditandingini rakanya parti lain.

“Kita (Amanah) tidak akan kacau malah kita akan bantu calon samada daripada DAP, PKR mahupun Bersatu yang diletakan di mana-mana kawasan Dun dan Parlimen.

“Bagaimanapun jika ada rundingan untuk meletakkan calon Amanah, ia tidak menjadi masalah,” katanya ketika melakukan kunjungan di Tadika Cilik Al- Fateh Kampung Rimba Terjun di sini, hari ini. ‎

Jelasnya, kewujudan jentera piliharaya di setiap dun dan parlimen penting bagi membuktikan komitmen Amanah pada pilihan raya yang bakal tiba. ‎

“Bertanding atau tidak, itu tidak penting. Amanah mahu buktikan kami ada jentera dan tidak kisah siapa pun calon samada daripada DAP, PKR dan Bersatu, kami akan tetap bantu,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin tidak menolak kemungkinan Amanah akan meletakkan calon di Dun Kukup mahupun Pulai Sebatang.

“Pada piliharaya lepas, kedua-dua kerusi ini ditandingi calon satu lawan satu, tidak mustahil Amanah akan bertanding di kerusi kedua-dua Dun ini yang terletak di parlimen Pulai Sebatang dan Pontian.

“Senario telah berubah, dulu pakatan melihat kebangkitan pengundi bukan Melayu .Itu  fakta yang jelas. Tetapi sekarang tidak wujud lagi perbezaan majoriti kaum, lebih-lebih lagi selepas wujudnya Bersatu dalam pakatan,” katanya.

Mengenai Tadika Al-Fateh, katanya tadika berkenaan merupakan usahasama di antara Amanah dan Kumpulan Pendidikan Al-Fateh.

“Tadika Cilik Al-Fateh berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan mula beroperasi pada awal tahun ini.

“Guru-guru yang mengajar kanak-kanak di sini yang berusia empat hingga enam tahun cukup terlatih untuk memberi pendidikan kepada mereka,” katanya.

Terdapat empat buah Tadika Cilik Al-Fateh di daerah Pontian iaitu di Kampung Serkat, Rimba Terjun, Kayu Ara Pasong dan Ayer Baloi.

– Sinar Harian

.