AMANAH TAK TOLAK KHALID LAWAN SHAHRIR

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub hari ini mengesahkan bahawa parti itu sedang memuktamadkan rancangan untuk meletakkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di Johor pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

“Kita telah bersedia menurunkan tokoh-tokoh besar lain. (Kita) tak nafikan AMANAH dalam proses pastikan Khalid Samad dibawa ke Johor untuk kukuhkan lagi barisan calon kita.

“Saya rasa beberapa tokoh lain sedang difikirkan oleh parti lain (untuk bertanding di Johor) bagi perkemaskan barisan (HARAPAN),” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan Khalid akan berdepan dengan abangnya – pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad – untuk kerusi Parlimen Johor Baru, Salahuddin, yang juga pengarah pilihan raya Pakatan Harapan Johor, tidak menolaknya, walaupun menyedari ia adalah kerusi PKR.

“Kalau Khalid Samad ke Johor tak semestinya Johor Baharu sebab Johor Baharu kerusi PKR,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur, hari ini.

Salahuddin berkata demikian apabila ditanya mengenai spekulasi bahawa sebahagian rancangan Pakatan Harapan untuk Johor, yang diketuai oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk meletakkan pemimpin kanan mereka di negeri itu.

Shahrir, selaku Ahli Parlimen Johor Baharu, semasa sesi dialog anjuran Umno pada malam Ahad lalu, berkata beliau sedia membatalkan rancangan persaraannya dan mempertahankan kerusinya pada PRU-14 daripada mana-mana calon “heavyweight” pembangkang, termasuk adiknya.

Salahuddin juga mengakui HARAPAN akan menjadikan Johor sebagai ‘front line state’ dan dirinya sudah hampir setahun setengah fokus di negeri itu.

Menurutnya, pelantikan Muhyiddin untuk mengetuai HARAPAN Johor dipersetujui secara sebulat suara tanpa ada sedikit pun bangkangan.

“Dengan kehadiran Muhyiddin saya rasa kita tak ada isu kredibiliti ketokohan kerana beliau bekas TPM, bekas MB Johor dua penggal, beliau sendiri YB Pagoh hari ini… rakyat tak ada sebab tidak letakkan keyakinan tinggi pada kami untuk ambil alih alih Johor,” katanya.

– M’kini

.