AMANAH TAK ADA MASALAH BERSATU SOKONG RUU355

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bebas membuat keputusan berkenaan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dibawa oleh Pas.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, hubungan baik pihaknya dengan Bersatu tidak akan terjejas jika Bersatu memilih untuk menyokong RUU tersebut.

“Kami tidak ada masalah jika Bersatu mahu sokong sekalipun. Saya kira rakan lain dalam Pakatan Harapan pun tidak akan ada rasa tidak puas hati jika Bersatu sokong (RUU 355).

“Hubungan baik kami tidak akan terjejas sama sekali. Masih banyak perkara yang ingin dibereskan bersama Bersatu,” katanya kepada Sinar Online.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong cadangan RUU 355 yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tuan Ibrahim berkata, Muhyiddin dalam suatu mesyuarat bersama Pas menyatakan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu.

Sementara itu, bagi pihak Amanah pula Salahuddin, pihaknya lebih senang mengambil pendekatan untuk meneliti terlebih dahulu pindaan yang terkandung dalam RUU itu.

Jelasnya, langkah itu dilihat lebih selamat berbanding mengumumkan terlebih dahulu pendirian berhubung RUU yang dibawa oleh Pas.

“Kita masih belum tahu konteks yang terdapat dalam RUU terbabit. Kita mahu pindaan tersebut dibentang dan dibahas terlebih dahulu di Parlimen.

“Kemudian baru kami akan nyatakan pendirian kami,” katanya lagi.

– SH

.