AMANAH: TAHNIAH, AISHAH!

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada Aishah, susulan penyanyi itu dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim keempat semalam.

Aishah yang merupakan ahli AMANAH dan aktif bersama pergerakan wanita parti itu menewaskan empat peserta lain, iaitu Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Lan dan Firman Siagian.

“Pemuda AMANAH merakam setinggi tahniah atas kejayaan Aishah merangkul kejuaraan Gegar Vaganza. Ini nyata mengubat kerinduan jutaan peminat yang membesar dengan lagu-lagunya.

“Semoga Aishah terus maju demi memartabatkan karya seni di peringkat lebih tinggi. Kami akan terus menyokong dan mendoakan agar segala impiannya tercapai,” kata Naib Ketua Pemuda AMANAH Shazni Munir Mohd Ithnin.

Penglibatan Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin dalam politik bermula pada 2012 selepas menyertai PAS, dan malah menjadi calon di Parlimen Jempol pada pilihan raya umum (PRU) 2013 menentang bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Pada 2015, Aishah bersama-sama ramai lagi ahli PAS berhijrah ke AMANAH, susulan perpecahan dalaman parti itu.

Selebriti yang menyertai politik biasanya tidak ataupun mengurangkan kegiatan seni mereka, apatah lagi jika ia melibatkan parti bernada agama.

Namun hal itu tidak berlaku kepada penyanyi Janji Manismu itu.

AMANAH sebelum ini berkata tiada masalah untuk Aishah menyertai pertandingan tersebut.

“AMANAH memberi restu. Aisyah ialah penyanyi, maka AMANAH tidak pernah berhasrat untuk turn over (mengubah) dia menjadi ustazah khususnya instantaneous ustazah (ustazah segera),” kata anggota Jawatankuasa Pusat AMANAH Hanipa Maidin.

– M’kini

.