AMANAH sanggup beri laluan kepada BERSATU

Parti Amanah Negara (AMANAH) telah menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding menentang PAS dan Umno di kawasan majoriti Melayu.

Ketua Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, itulah pendirian parti itu dalam sebarang rundingan untuk bekerjasama sebagai sebuah pakatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

“Kita mesti mencari jalan demi perpaduan pakatan pilihan raya. Mereka (BERSATU) tidak semestinya perlu menyertai Pakatan Harapan,” kata Khalid.

“BERSATU akan bertanding di kerusi majoriti Melayu manakala AMANAH akan meletakkan calon di kerusi yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu,” jelas Khalid lagi.

Beliau ditemui semasa sidang media di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur.

AMANAH sebelum ini mengalu-alukan pembentukan BERSATU sambil mengharapkan kemunculan sulungnya dalam arena politik negara.

Walaupun BERSATU adalah parti berasas kaum, ia tidak semestinya bermaksud parti itu bersifat perkauman, kata AMANAH.

Terdahulu, BERSATU mengesahkan akan memulakan rundingan pembahagian kerusi bersama pembangkang lain sebaik saja pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PAS dan PKR antara kawasan yang diintai oleh BERSATU, akui Presiden penajanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – M’kini

.