AMANAH, PKR PERLU RAMPAS PENGUNDI PAS: SUHAIZAN

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR berusaha mendapatkan undi dan sokongan daripada pengundi Pas, kata Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat.

Menurut Suhaizan, beliau yakin peluang kemenangan mampu menjadi milik pembangkang sekiranya mereka memperoleh undi sokongan daripada pengundi Pas.

“Kajian yang telah dilakukan oleh invoke menyatakan jika berlaku pertandingan tiga penjuru maka 21 peratus pengundi akan menyokong Pas, 24 peratus pengundi akan menyokong Pakatan Harapan, 40 peratus menyokong BN dan 14 peratus pengundi lagi tidak mahu mengundi.

“Jika dipecahkan kepada segmen pengundi kita boleh memperoleh undi daripada pengundi Pas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujarnya lagi, barisan pembangkang yang terdiri daripada Amanah, PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) perlu memberi fokus pada keupayaan masing-masing.

Menurutnya, sudah tiada keperluan bagi PKR dan Bersatu bertangguh masa untuk berbincang dengan Pas.

“Semakin lewat membuat keputusan semakin baik bagi agenda Pas dan Umno.

“Bersatu perlu fokus pada pengundi yang tidak tegar dalam Umno. DAP pula perlu mencari jalan mengekalkan sokongan masyarakat Cina kepada barisan pembangkang,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menjelaskan agenda yang dibawa tidak boleh menakutkan pengundi Melayu.

“Agenda bersama Pakatan dan Bersatu perlu dizahirkan bagi membuktikan bahawa mereka adalah barisan pembangkang yang kuat dan mampu melawan BN untuk membuat perubahan.

“Tiada kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan rakyat. Agenda ini mampu mengurangkan pengundi yang kecewa dengan agenda perubahan dalam negara,” jelasnya.

– Sinar Harian

.