AMANAH: Pilihan raya mengejut Selangor berisiko tinggi

Disebabkan PAS bukan sebahagian daripada komponen pembangkang dalam Pakatan Harapan, tindakan mengadakan pilihan raya mengejut di Selangor sangat berisiko, kata Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menjelaskan masalah yang dihadapi jika DUN Selangor dibubarkan ialah kedudukan PAS.

“Masalahnya (ialah) dengan PAS. Risiko itu ada.

“Disebabkan keadaan (semasa) PAS maka kami tidak pasti cadangan (mengadakan pilihan raya mengejut itu) akan dapat mencapai martlamat.

“Kami perlu membuat perkiraan terlebih dulu,” katanya di sidang media di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam pemimpin DAP Lim Kit Siang mencadangkan pilihan raya mengejut diadakan di Selangor sebagai tindak balas pelaksanaan persempadanan semula kawasan pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali kemudian menolak cadangan itu dan berkata kerajaan negeri tidak boleh mengkhianati mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Kata Khalid jika kedudukan pembangkang kukuh seperti ketika Pakatan Rakyat (PAKATAN) masih wujud dulu AMANAH yakin dapat mengekalkan penguasaan dalam kerajaan Selangor.

“Kalau kita mcm PAKATAN dulu, PAS, PKR (dan) DAP mantap, kita boleh buat (pilihan raya) hari ini juga dan menang,” katanya.

PAKATAN diwujudkan melalui gabungan kerjasama antara tiga parti utama pembangkang dan berjaya menafikan penguasaan dua per tiga BN di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun PAKATAN akhirnya berkubur selepas PAS dan DAP berseteru. – M’kini

.