AMANAH PERAK TAWAR KERUSI LUMUT UNTUK DIPERTAHAN PKR

SELEPAS berjaya mendapat kembali kerusi Kuala Kangsar daripada Bersatu, Amanah mahu menawarkan kepada PKR bertanding semula kerusi Lumut.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata persetujuan telahpun dicapai agar parti itu akan bertanding di Kuala Kangsar manakala Bersatu akan bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Katanya, Amanah Perak kini akan menyerahkan kerusi Lumut untuk ditandingi sekali lagi oleh PKR, yang menurutnya tidak berpuas hati kerana tidak dapat mempertahankan kerusi tersebut.

“Jika PKR mahukan Lumut, kita sedia untuk menyerahkannya jika PKR bersedia memberikan mana-mana kerusi yang sesuai kepada kita.

“Bukan kerusi di Perak saja, kerusi di negeri-negeri lain pun boleh. Seperti Permatang Pauh atau Lembah Pantai,” kata Asmuni kepada The Malaysian Insight.

Amanah Perak mahu melepaskan kerusi Lumut kerana juga sudahpun menjangkakekalahan di kerusi itu, dengan mengambil kira sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Sempadan baharu tersebut dibimbangi akan memindahkan sebahagian besar penyokong DAP, yang menjadi penyumbang utama kepada kemenangan PKR di Lumut, ke kawasan Parlimen Beruas.

Amanah Perak juga membuat tawaran itu memandangkan pemimpin akar umbi PKR Lumut dilaporkan tidak berpuas hati dengan keputusan Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen itu kepada Amanah.

Seorang jurucakap PKR Lumut Mohd Zairas berkata, penyerahan kerusi tersebut kepada Amanah itu malah menimbulkan kekecohan di kalangan ahli PKR di kawasan Lumut.

Ketua cabang yang juga Ahli Parlimen Lumut, Laksamana (B) Mohamad Imran Abd Hamid juga dilaporkan tidak bersetuju dengan keputusan PH, namun akur dengan keputusan pimpinannya.

Dalam pembahagian kerusi PH, Bersatu mendapat agihan kerusi paling banyak di Semenanjung iaitu 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

Di Perak, Amanah pada asalnya mendapat kerusi Bukit Gantang, Lumut, Parit dan Parit Buntar.

Namun sehari selepas pengumuman itu, PH Perak bersetuju membuat pertukaran semula, dengan  Amanah bertanding di Kuala Kangsar dan Bersatu bertanding di Bukit Gantang, yang kini disandang Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

Amanah mahukan Kuala Kangsar kerana sudah membuat kerja-kerja pilihan raya sejak pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar pada Jun 2016.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata persetujuan telahpun dicapai agar parti itu akan bertanding di Kuala Kangsar manakala Bersatu akan bertanding di kerusi parlimen Bukit Gantang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.
Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata persetujuan telahpun dicapai agar parti itu akan bertanding di Kuala Kangsar manakala Bersatu akan bertanding di kerusi parlimen Bukit Gantang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2018.

“Dulu kami masuk pilihan raya dengan dua cawangan sahaja, kini kami ada 26 cawangan berbanding PAS hanya 23 sahaja,” kata bekas calon Amanah PRK Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi.

Bekas calon Amanah dalam PRK Kuala Kangsar itu berkata, beliau yakin Amanah akan menyertai pilihan raya umum akan datang dengan persiapan penuh di Kuala Kangsar.

Tambahnya, Amanah Perak juga menjalankan banyak usaha untuk membangunkan jentera parti itu di situ, yang sudah menelan belanja besar.

“Sejak pilihan raya kecil itu, kami sudah menggerakkan jentera Amanah di sini secara yang agresif dan telah membelanjakan lebih setengah juta ringgit untuk membangunkannya,” kata beliau.

Dalam PRK itu, Termizi, bekas profesor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kalah kepada calon BN, Mastura Mohd Yazid dengan majoriti 6,969 undi.

Mastura memperolehi 12,653 undi menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi, calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).

– https://www.themalaysianinsight.com

.