AMANAH: PAS MEMANG TIADA MINAT ELAK TIGA PENJURU

Di saat isu kerjasama antara PKR dan PAS masih berlarutan, Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini mengingatkan pembangkang yang PAS jelas tidak berminat untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata naib presidennya Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, AMANAH sentiasa terbuka dan menghormati hasrat parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) lain untuk berunding dengan PAS bagi menjayakan matlamat “satu lawan satu” dengan BN.

“Kami sebagai rakan dalam HARAPAN hanya memberikan pandangan tentang perkara itu apabila diminta.

“Namun selepas hampir dua tahun usaha keras rakan-rakan untuk membawa PAS ke gelanggang satu lawan satu, kini rakyat boleh menilai dengan jelas parti mana sebenarnya yang menggagalkan segala niat dan usaha murni itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai HARAPAN secara rasmi Mac lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mengadakan perbincangan kerjasama dengan PAS, termasuk dalam soal pembahagian kerusi.

Kini hanya PKR yang dilihat berminat untuk mengadakan kerjasama dengan PAS, walaupun Majlis Presiden HARAPAN minggu lalu memutuskan bahawa tidak akan ada sebarang kerjasama dengan parti itu.

Salahuddin berkata, keputusan tersebut bukanlah dibuat secara terburu-buru, tetapi dengan mengambil kira setiap perbezaan pandangan di kalangan pimpinan utama HARAPAN.

“Masa tidak menunggu kita dan menuntut kepimpinan membuat keputusan penting sekaligus mengatur strategi kemenangan bagi menghadapi PRU ke-14.

“HARAPAN telah membuka jendela perundingan dan waktu yang cukup untuk pertarungan satu lawan satu bagi menumpaskan BN. Kini biarlah rakyat berbicara parti manakah yang membuat durjana,” katanya.

– M’kini

.