AMANAH KUTUK EKSPLOITASI KE ATAS ZAKIR NAIK

SHAH ALAM – Parti Amanah mengutuk usaha mengeksploitasi isu kehadiran penceramah terkenal, Dr Zakir Naik ke Malaysia.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, ia bercanggah dengan ajaran Islam yang menganjurkan kehidupan bersendikan amalan saling kenal-mengenali dan saling hormat-menghormati.

“Kami melihat dengan penuh kebimbangan bagaimana isu itu telah dieksploitasi bertujuan mewujudkan ketegangan agama antara orang Islam dan bukan Islam.

“Isu itu dieksploitasi bagi mewujudkan mengadu-domba antara penganut agama Islam dan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kerajaan India menyatakan mereka ingin menyiasat Zakir atas tuduhan menyokong pengganas, bukan atas sebab kerja-kerja dakwahnya.

Ucapan-ucapan beliau dikatakan sebagai antara punca berlakunya beberapa peristiwa keganasan termasuk yang telah berlaku di Dhaka dan Mumbai.

Khalid sebaliknya berpandangan, tumpuan perlu diberikan kepada menjawab tuduhan tersebut dan bukan diselewengkan untuk menghasilkan pertembungan antara umat Islam dan bukan Islam.

“Tuduhan menyokong golongan dan kefahaman pengganas yang dibuat terhadap Zakir adalah begitu berat. Ini bertambah rumit lagi kerana beliau merupakan ilmuan yang dihormati ramai dari kalangan umat Islam.

“Amanah menolak keganasan dan memandang serius dakwaan yang dibuat kerajaan India terhadap Zakir.

Oleh itu, pihaknya menyeru kerajaan India untuk mengemukakan petikan ucapan atau jenis kegiatan Zakir yang membuktikan beliau menyeru dan mendorong umat Islam ke arah keganasan seperti yang didakwa.

“Sekiranya tiada bukti dikemukakan, maka dakwaan bahawa Zakir ingin ditahan dan diseksa atas sebab kelantangannya dan bukan atas sebab menyokong pengganas, adalah berasas. Amalan melabel seseorang sebagai pengganas tanpa bukti demi memudahkan penahanan beliau adalah satu amalan yang tidak menghormati hak asasi tertuduh.

“Amanah yakin niat Zakir bukanlah untuk menimbulkan keresahan di kalangan mana-mana pihak atau kebencian terhadap dakwahnya.

“Sebaliknya, bagi yang biasa mengikuti program beliau, pendekatan penerangan perbandingan agama yang merupakan kepakaran beliau, sememangnya dibentang secara amat kritis dan tajam,” katanya lagi.