AMANAH KESAL DIDAKWA MANIPULASI NIK AZIZ

SHAH ALAM – Amanah hari ini melahirkan rasa kesal berhubung tuduhan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terhadap penganjuran ‘Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat’ oleh pihaknya.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tujuan penganjuran seminar tersebut hanya untuk menekuni dan merakamkan keunikan jalur pemikiran bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik dalam mengemudi pelbagai cabaran kerencaman masyarakat majmuk.

“Kata beliau seminar ini seolah-olah mahu menggambarkan Amanah mendapat restu Nik Aziz, ia tidak timbul sama sekali.

“Sejujurnya saya tidak tahu untuk ketawa atau menangis membaca akan laporan ini. Lebih saya sangsikan apakah ada nilai ilmiah atau intelektual untuk memanjangkan topik atau wacana ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau dalam masa sama menegaskan tujuan seminar yang diadakan oleh pihaknya kelmarin adalah untuk mendepani cabaran dengan Kerajaan Persekutuan yang amat mencemburui usia pentadbiran dan kerajaan Allahyarham.

“Khairuddin terlupa segala tuduhan,penipuan, cerita rekaan dan pembohongan yang dimaksudkan adalah juga disaksikan dan didengari puluhan ribu penonton. Tidak semudah itu untuk beliau seorang sahaja yang menjadi pendakwa sekaligus hakim.

Ramai juga mendapat pencerahan dari seminar yang dibentang oleh mereka yang pernah bersama Tuan Guru dari pelbagai sisi dan latar-belakang,” jelasnya.

Mohd Khairuddin pada semalam mendakwa Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Aziz yang dianjurkan Amanah kelmarin merupakan bentuk manipulasi terhadap Nik Aziz yang telah tiada di dunia ini.

Mohd Khairuddin berkata, apa yang cuba disampaikan Amanah bersifat manipulasi kerana Nik Aziz tidak ada kena mengena dengan Amanah dan terus istiqamah bersama Pas sehingga ke akhir hayatnya

– SH