AMANAH JANJI TAK MASUK KAWASAN PKR

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan serpihan PAS itu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkata perkara itu telah diputuskan AMANAH secara prinsip, namun ia tertakluk kepada perbincangan bersama parti pembangkang lain pada masa depan.

Bagaimanapun kenyataan Salahudin itu berbeza sama sekali dengan Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad semalam bahawa mereka mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.

“Setakat ini apa yang saya faham AMANAH berada dalam Pakatan Harapan maka saya boleh memberikan jaminan bahawa AMANAH tidak akan bertanding mana-mana kerusi PKR kerana PKR adalah rakan kita dalam HARAPAN dan BERSATU.
“Kemungkinan akan berlaku perundingan kerusi-kerusi yang boleh kita bincang, kerusi-kerusi baru yang mungkin kita boleh buat pertukaran, (misalnya) PKR boleh ambil kerusi parlimen manakala AMANAH tanding di kerusi DUN.

Salahudin berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.

PAS hari ini mendakwa AMANAH mula menunjukkan belang sebenar kenyataan Khalid itu dikatakan mahu mencuri kerusi.

– M’kini

.