AMANAH JANGAN SIBUK KERJASAMA PAS – BERSATU

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) seharusnya tidak masuk campur apa sahaja urusan parti lain, demikian menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kerjasama antara Pas dan Bersatu adalah urusan kedua-dua parti itu, seharusnya parti luar tidak perlu ambil tahu.

“Saya pun hairan, mengapa ada orang luar yang mahu tahu kedudukan kerjasama antara Pas dan Bersatu, sedangkan mereka sendiri bermasalah dan banyak masalah.

“Hal Pas, biarlah Pas uruskan sendiri. Kami bukan parti baru. Kalau nak tahu perkembangan, Amanah boleh bertanya pada Bersatu kerana mereka juga ada jalinan yang kuat,” katanya kepada Sinar Online.

Takiyuddin diminta mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kerjasama itu akan menemui jalan buntu selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menetapkan pelbagai syarat yang tidak munasabah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama Pas buntu tetapkan syarat tidak munasabah]

“Apa juga syarat atau status perbincangan, biarlah ia menjadi urusan Pas dan Bersatu sahaja.

“Cuma saya nak tekankan, tidak kiralah urusan politik, bisnes atau apa sahaja, tidak semua yang kita mahukan akan berjaya.

“Kerana itu, diadakan perbincangan. Kesediaan Pas untuk bekerjasama dengan Bersatu adalah tanda kami boleh berbincang. Pas sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik kecuali Amanah,” katanya.

Beliau menegaskan, Amanah tidak perlu lagi memberi sebarang kenyataan berhubung Pas.

“Kita ada parti sendiri, jagalah parti kita baik-baik. Itu lebih baik daripada bercakap megnenai parti kita yang sudah lama terbina ini,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin ketika ditanya bilakah jawatankuasa teknikal antara Pas dan Beratu akan mencapai kata sepakat, beliau berkata, ia hanya akan diputuskan sebelum PRU14.

“PRU14 pun lambat lagi, tak tahu bila. Jadi masih ada masa untuk dua parti ini terus berbincang dan memikirkan masa depan terbaik kami untuk pilihan raya akan datang.

“Apa juga keputusan, tunggu dan lihat,” katanya.

– Sinar Harian

.