AMANAH IKRAR 30,000 AHLI SERTAIBERSIH5

Parti Amanah Negara (AMANAH) berikrar untuk menggerakkan 30,000 ahli dan penyokongnya untuk menghadiri perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur Sabtu ini.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata parti itu juga telah mengumpulkan 55 peguam, 50 pegawai perubatan, 30 wartawan dan 20 jurugambar untuk bertugas pada hari berkenaan.

“Kami juga ingin mengumumkan bahawa pusat BERSIH5 AMANAH akan beroperasi di ibu pejabat kami.

“Nombor hotline akan diumumkan kemudian,” kata Anuar pada sidang media di ibu pejabat AMANAH.

Peguam Wan Anwar Wan Ibrahim, yang turut hadir, berkata peguam parti itu akan menawarkan bantuan guaman kepada semua peserta BERSIH5 tanpa mengambil kira fahaman parti mereka.

“Jadi, kita ingin ingatkan pihak berkuasa supaya memberi kerjasama dan memudahkan perhimpunan tersebut,” kata Wan Anwar yang juga naib ketua biro undang-undang AMANAH.

Anuar, pada sidang media itu turut membidas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung kenyataannya bahawa “hutang darah dibayar darah” pada kejadian di sebuah sebuah pusat membeli hari Ahad lalu yang menyaksikan hidungnya berdarah.

Sambil menegaskan bahawa kenyataan itu adalah tidak bertamadun, Anuar berkata Jamal sebagai pemimpin harus menjadi contoh kepada penyokongnya dan menolak segala bentuk pencerobohan atau keganasan.

“Itu adalah satu kenyataan daripada seseorang yang sama sekali tidak menghormati keamanan.

“Hutang darah dibayar darah. Apa jenis orang ini?” soal Anuar.

MKINI

.