AMANAH HARAP DAPAT LEBIH BANYAK KERUSI DUN

SHAH ALAM – Presiden Amanah, Mohamad Sabu berharap agar kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dapat memberi lebih banyak kerusi negeri kepada parti itu dalam PRU14 nanti.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pihaknya akan berunding dengan pimpinan Pakatan Harapan selepas ini bagi membincangkan mengenai perkara itu.

“Ya, kita akan runding untuk dapat lebih kerusi negeri dalam PRU14 nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Menerusi Konvensyen Pakatan Harapan hari ini, gabungan itu dilihat telah mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi Parlimen di kawasan Semenanjung Malaysia.

Menerusi pembahagian itu, Bersatu memperoleh sebanyak 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi manakala Amanah pula 27 kerusi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mat Sabu berkata, pihaknya terbuka dengan pengagihan kerusi tersebut memandangkan terdapat banyak lagi rundingan sedang dijalankan selepas ini.

“Terdapat banyak lagi rundingan kerusi sedang dijalankan termasuk melibatkan negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

– Sinar Harian

.