AMANAH: DI MANA DASAR PENJUANGAN ISLAM PAS?

SHAH ALAM – Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) menempelak kerajaan Pas Kelantan yang terlalu lantang memperjuangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU355), namun mengabaikan hak tanah adat Orang Asli di Gua Musang.

Perwakilan Kelantan, Che Ibrahim Muhammad berkata, Orang Asli, seperti kaum lain, juga mempunyai hak untuk memiliki tanah di negara ini.

“Bila kita bercakap soal peraturan, sibuk dihebohkan dengan RUU355, kita desak kerajaan menerima pakai undang-undang syariah atau undang-undang jenayah Islam sebagi undang-undang jenayah negara.

“Tetapi mengapa bila berbicara soal hak memiliki tanah Orang Asli, kita hanya rujuk Enakmen Rizab Melayu,” katanya ketika membahaskan usul membela hak orang Asli dan alam sekitar Kelantan yang dibawa perwakilan Wanita Amanah di pada Konvensyen Amanah di sini, semalam.

Menurutnya lagi, Pas sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam tidak sepatutnya menafikan hak peribumi Orang Asli untuk mendapat tanah adat.

“Di mana Islam yang kita katakan dasar perjuangan kita? Ketika mendesak masyarakat terima RUU355 semata-mata untuk hukum kesalahan zina dan minum arak, ikut Islam.

“Tapi pada masa yang sama kita nafikan hak peribumi untuk memiliki dan menduduki tanah. Saya harapkan Amanah boleh ambil kira pandangan ini sebagai penyelesaian kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Che Ibrahim dalam masa yang sama turut  mendesak hak tanah adat Orang Asli diiktiraf di semua negeri dan bukannya hanya di Kelantan saja.

“Kita minta semua negeri termasuk Pahang, Selangor dan Johor mengiktiraf hak Orang Asli,” katanya.

Minggu lalu seramai 54 Orang Asli ditahan pihak berkuasa negeri Kelantan kerana memasang sekatan menghalang pembalak masuk ke kawasan hutan di Gua Musang.

SINAR HARIAN

.