AMANAH akan ‘melutut’ pada PAS, kata Hadi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin Parti Amanah Negara (AMANAH) akan ‘melutut’ suatu hari nanti dan mengiktiraf kekuatan parti Islam itu dalam persada politik negara.

Menurut Abdul Hadi, parti-parti lain yang menjadi sekutu AMANAH pula terpaksa bergantung pada PAS untuk meraih sokongan rakyat memandangkan komitmen yang tinggi anggota parti Islam berkenaan.

Justeru, anggota parlimen Marang itu berkata, dakwaan ribuan anggota PAS Kelantan yang menyertai AMANAH dilihat hanya ‘cakap sokong yang tidak berpijak di bumi nyata’, lapor Utusan Malaysia.

“Berita begitu mudah dipetik dengan jari, apatah lagi dalam dunia siber berita terlalu laju dan tidak berpijak di bumi nyata.

“Kita yakin ahli-ahli kita di semua cawangan dan kawasan tetap konsisten, bahkan parti lain bergantung dengan kita, tunggulah suatu hari nanti AMANAH akan melutut kepada kita,” katanya selepas menghadiri Program Munajat Perdana ‘Rakyat Kelantan Menyokong Rang Undang-Undang Akta 355’ di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kelantan malam tadi.

Dalam Majlis Perisytiharan Keluar PAS dan Masuk AMANAH di Salor yang diadakan serentak dengan Program Munajat Perdana tersebut, kepimpinan AMANAH mendakwa menerima lebih 1,500 keahlian baru daripada penyokong PAS di negeri berkenaan.

– M’kini

.