ALLAH YANG TETAPKAN HARGA BARANG, KATA MENTERI UMNO

AHLI Majlis Tertinggi Umno Hamzah Zainuddin berkata pemimpin Umno mengikut tuntutan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad agar tidak mencampuri hak pasaran bebas berhubung ketetapan harga barang.

Hamzah membangkitkan isu tersebut untuk mempertahankan tindakan kerajaan dalam isu kenaikan harga barangan keperluan pengguna akan menjadi antara isu utama dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau memetik sepotong hadis Riwayat Abu Dawud berhubung rayuan oleh pengikut baginda ketika itu agar Nabi menetapkan harga barangan di Madinah.

“Jawab Baginda, ‘Allah, Dialah yang menetapkan harga itu. Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, Dialah Allah yang memberi rezeki.

“’Sungguh aku berharap aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta’,” katanya, memetik hadis disampaikan Anas bin Malik.

Dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Perhimpunan Agung Umno ke-17 hari ini, Hamzah seterusnya menyimpulkan tindakan pemimpin kerajaan hari ini sudah selari dengan tuntutan baginda.

“Ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh kita sekarang, apa yang dilakukan oleh pemimpin kita sekarang, adalah sesuatu yang menyamai apa yang dituntut oleh Rasulullah untuk tidak mencampuri hak pasaran bebas di negara kita,” katanya

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan hal ehwal pengguna itu menjelaskan, perdana menteri yang juga Presiden Umno Najib Razak menggunakan konsep keadilan Islam dengan memberikan subsidi terhadap barangan keperluan asas.

Katanya, langkah itu dijalankan agar kenaikan harga barang itu tidak membebankan rakyat walaupun kerajaan memperuntukkan RM2 bilion setahun untuk merealisasikan rancangan itu.

“Bagaimanapun atas sikap prihatin dan keadilan yang dituntut dalam Islam, presiden parti (yang juga) perdana menteri kita bersetuju agar barang-barang keperluan asas tidak akan dinaikkan harga. Barang-barang keperluan yang saya maksudkan ialah gula, tepung, minyak masak, beras dan gas memasak (LPG).

“Ini adalah kerana presiden parti merasakan untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat dan kedilan untuk seluruh rakyat di negara kita. Kita mampu untuk memberikan subsidi melalui barang-barang keperluan asas,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.