ALLAH TELAH BUKA PINTU HATI MAT TAIB: NAJIB

KUALA LUMPUR – Penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno diyakini akan mengukuhkan parti keramat Melayu itu.

Perkara itu dizahirkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang yakin dengan pengalaman luas Mat Taib sebelum ini dilihat mampu merealisasikan agenda itu.

“Beliau berikrar untuk berjuang bersama bagi menjamin kejayaan Umno dan BN,” katanya dalam satu sidang media khas, di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn, hari ini.

Katanya lagi, Mat Taib juga sudah tersedar daripada ‘lamunan’ setelah sekian lama berada di pihak pembangkang.

“Beliau menyedari PKR amat sia-sia sahaja dan amat bertentangan dengan jiwa dan semangat yang ada pada beliau

“Sebab itulah ALLAH buka pintu hati kembali semua,” katanya lagi.

Terdahulu, Najib mengumumkan penyertaan semula Mat Taib ke dalam Umno.

Muhammad yang juga bekas Naib Presiden Umno itu sebelum ini pernah menyertai Pas dan PKR sebelum bertindak kembali ke ‘pangkuan’ Umno.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib merupakan bekas Menteri Besar Selangor ke-11 dan menggalas jawatan itu selama hampir 12 tahun sejak 1986.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2008, namun Muhammad berkhidmat dalam tempoh yang singkat, iaitu hampir dua tahun sahaja.

– Sinar Harian

.