Ali Tinju kembali dengan ‘senaman tonggeng’ kedua

Ingat lagi “senaman punggung” – dengan aksi membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung arah kediaman bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk S Ambiga empat tahun lalu?

Gimik itu ternyata membuatkan penganjurnya Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju menjadi terkenal sebagai pengkritik lantang perhimpunan BERSIH.

Kali ini, setelah empat tahun, daripada BERSIH 3 kepada BERSIH 5, Ali akan kembali dengan acara sama bagi membantah penganjuran himpunan itu.

Mereka akan menjadikan rumah Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah sebagai sasaran.

“Maria Chin akan dapat satu tentangan hebat daripada Gerakan Merah dan kami tidak teragak-agak untuk membuat ‘senamam tonggeng’ siri kedua di hadapan rumah beliau.
“Itu pesan Ali Tinju kepada Maria Chin agar berhati-hati, bagaimana Datuk Ambiga mendapat senaman tarian kita juga akan ke rumah beliau (Maria) dalam masa terdekat ini,” kata Ali kepada Malaysiakini.

Ali diminta mengulas pengumuman Maria bahawa BERSIH 5 akan diadakan pada 19 November depan, yang dilihat bakal memberi tekanan kepada kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Ali juga berkata beliau akan menggerakkan 50,000 penyokongnya untuk hadir membantah himpunan itu pada tarikh sama.

Malah, Ali berkata kehadiran mereka bukan sekadar memprotes tindakan Maria tetapi akan bertindak menasihati Maria agar menghormati undang-undang negara.

“Jika mereka tak berpuas hati tunggu PRU (pilihan raya umum) tahun depanlah. Kenapa tak sabar nak buat kerja bodoh dan menyusahkan rakyat sebegini,” kata Ali Tinju.

Kumpulan penentang himpunan BERSIH sudah beberapa kali menganjurkan perhimpunan balas tetapi angka pesertanya jauh lebih rendah. – M’kini

.