AL-FATIHA: Veteran Umno Aziz Tapa Meninggal Dunia

PETALING JAYA – Veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa meninggal dunia pada Selasa.

Difahamkan Abdul Aziz, 93, meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Pada Mei lalu Abdul Aziz menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang Umno 2016 pada majlis sambutan Hari Umno ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Allahyarham yang berasal dari Jasin, Melaka merupakan ahli Umno yang aktif pada era 70-an dan 80-an dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Ahli Dewan Negara (1975-1977), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka (1978-1982) dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Nyalas (1978-1982).

Dilahirkan pada 13 Jun 1923, beliau memulakan kerjaya sebagai askar sukarela di Rejimen Polis Kem Port Dickson pada 1940 sebelum menjadi guru antara tahun 1945 hingga 1974 dengan jawatan terakhir sebagai guru besar di Sekolah Rendah Kebangsaan Alor Gajah, Melaka.

Penglibatannya dalam politik pula bermula seawal sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu dengan menyertai Persatuan Melayu Semenanjung Johor cawangan Melaka, sebuah gerakan anti-Malayan Union yang diketuai oleh Datuk Onn Jaafar pada tahun 1946 dan kemudian menganggotai Umno selepas parti itu ditubuhkan.

Beliau turut memegang beberapa jawatan dalam Umno antaranya sebagai Bendahari Umno cawangan Merlimau pada 1955, Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin (1974), Naib Ketua Umno Bahagian Jasin (1978), Bendahari Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka (1978-1986).

Selain daripada politik, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain antaranya Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1972-1996), Ahli Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara (1976-1988), Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978) dan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (1975-1977).

Abdul Aziz yang mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Maznah Lasim dan dikurniakan sembilan anak sebelum ini juga pernah menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan/Negeri Melaka pada 1986, Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka (2003) dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1427H/2006M Negeri Melaka (2006).

– Mstar

.