AKTIVIS MAHU ZAKIR NAIK DITANGKAP DAN DIUSIR

Sekumpulan aktivis hari ini memfailkan tuntutan mahkamah menuntut antara lain, satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah kontroversi Zakir Naik.

“(Kami memohon) satu perintah bagi ketua Polis Negara (IGP) untuk segera menangkap Zakir Naik.

“(Juga), satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, jika ada diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia,” kata Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas memfailkan tuntutan mahkamah itu.

Saman itu difailkan oleh Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

Menurut Waythamoorthy, mereka telah mengutus surat kepada Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Perdana Menteri mengenai status imigresen Zakir dan kedudukannya di negara ini.

Namun usaha mereka tidak mendapat sebarang maklumbalas.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka percaya bahawa Zakir masih berada di Malaysia ketika ini.

Plaintif juga memohon deklarasi bahawa Zakir adalah ancaman kepada keselamatan, keharmonian dan perpaduan negara ini.

Dalam dokumen mahkamah itu, mereka mendakwa bahawa ajaran Zakir menggalakkan keganasan dan akan merosakkan perpaduan berbilang kaum dan keamanan di Malaysia.

Waythamoorthy berkata Zakir juga telah diharamkan di beberapa negara, termasuk Kanada dan United Kingdom.

– M’kini

.