AKTIVIS HARAPAN PERTIKAI KEIKHLASAN AZMIN

Gerakan Aktivis Harapan (GAH) yang mewakili anggota parti Pakatan Harapan hari ini tampil sambil mempertikaikan keikhlasan pengerusi Selangor itu dalam mematuhi keputusan Majlis Presiden yang mengeluarkan ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan PAS.

Jurucakap bagi GAH, yang mendakwa mereka terdiri daripada anggota PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU itu adalah Zanirun Baba, Othman Ismail, Annuar Ismail, Mohd Saad Ismail, Lee Thian Soo dan seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Maniam.

Dalam satu kenyataan kepada¬†Malaysiakini, kumpulan itu berkata kenyataan Azmin seolah-olah “kelihatan agak tidak ikhlas” kerana beliau adalah pendokong kuat kerjasama PKR-PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.

Kumpulan itu berpendapat bahawa PKR perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) atau Kongres Khas untuk menangani kebuntuan seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

“Azmin akan diasak untuk menghentikan rundingan dengan PAS oleh anggota PKR sendiri yang menuntut agar EGM diadakan secepat mungkin.

“Jika EGM diadakan, Azmin tidak akan dapat meyakinkan PKR tentang keperluan untuk berunding dengan PAS, terutama selepas pemimpin parti Islam itu menafikan mereka sedang berbincang mengenai persiapan pilihan raya.

“Kredibiliti dan populariti beliau akan terjejas teruk jika Kongres Khas atau EGM tidak menyokongnya,” kata kumpulan itu.

Menurut mereka, Azmin perlu berani berdepan dengan EGM kerana beliau sering-kali mewajarkan tindakannya dengan mendakwa bahawa rundingan dengan PAS adalah keputusan parti.

GAH merujuk kepada kenyataan Azmin bahawa beliau akan mematuhi keputusan HARAPAN untuk menghentikan perbincangan dengan PAS dalam mengelakkan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar Selangor itu berikrar akan mengukuhkan jentera pilihan raya gabungan pembangkang dalam untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru menjelang PRU-14, yang mesti diadakan sebelum pada Julai tahun depan.

– M’kini

.