AKTA 355 HANYA MAINAN POLITIK?

Kenyataan 1

Keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut (“total knock-out/TKO”) kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian (rujuk http://rafiziramli.com/2016/10/rang-undang-undang-355-dato-seri-najib-tun-razak-mesti-isytihar-pendirian-pentadbiran-beliau/), jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh kecualilah Kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.

Ini bermakna, seperti yang saya tegaskan berkali-kali, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan RUU persendirian yang dibawa YB Marang itu dipulangkan kembali kepada beliau, kesemua keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan diluluskan terletak di tangan Dato’ Seri Najib (seperti berikut):

1) Keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan untuk memberi laluan kepada pembacaan RUU persendirian YB Marang terletak di tangan Dato’ Seri Najib (kerana urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca)

2) Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian YB Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Dato’ Seri Najib sebagai ketua kerajaan

3) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan untuk membolehkan RUU persendirian YB Marang dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu adalah keputusan Dato’ Seri Najib

4) Jika pun (1) atau (2) dibenarkan dan Dato’ Seri Najib bersetuju mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu (seperti (3)), keputusan sama ada Kerajaan akan mengambil alih cadangan pindaan itu untuk dibentangkan kembali bagi bacaan kedua adalah keputusan Dato’ Seri Najib

Akhirnya, jika pun Dato’ Seri Najib boleh bermain politik dengan membenarkan (1), (2) dan (3), saya yakin cadangan RUU persendirian YB Marang itu akan terhenti di peringkat bacaan pertama (setelah pengundian dibuat) kerana Dato’ Seri Najib tidak mungkin akan bersetuju mengambil alih cadangan pindaan tersebut untuk dibentangkan kembali sebagai rang undnag-undang kerajaan (seperti kehendak Peraturan Dewan).

Kenapa saya begitu pasti?

Kerana jika benar Dato’ Seri Najib ikhlas, sudah tentu beliau meneruskan janjinya yang dibuat di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan Kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.

Kalau Kerajaan Persekutuan menolak untuk membentangkannya pada bacaan pertama dan dipulangkan kepada YB Marang yang tertakluk kepada semua keputusan Dato’ Seri Najib bagi kelulusan di peringkat (1), (2) dan (3) di atas, kenapa pula di langkah (4) tiba-tiba Dato’ Seri Najib akan mengambil alih RUU persendirian itu?

RUU355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan 3 penjuru dalam PRU14.

Dato’ Seri Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum. Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.

Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Dato’ Seri Najib dalam hal ini. Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik Umno ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN PKR
Kenyataan 2

Sebelum sesuatu akta mahu dipinda, perlulah dibuat suatu usul kepada parlimen. Usul ini boleh dibawa oleh kerajaan, boleh juga dibawa oleh sesiapa ahli parlimen yang bukan dari kerajaan. Jika dibawa oleh parti pemerintah, ini namanya usul kerajaan. Jika dibawa oleh ahli parlimen bukan kerajaan, ini dipanggil usul persendirian.

Apakala usul untuk meminda sesuatu akta telah dibawa dan dipersetujui oleh dewan, barulah perkara yang mahu dipinda itu dibentangkan untuk dibahaskan oleh ahli-ahli dewan.

Adapun “RUU355” ini baru pada tahap membawa usul kepada parlimen. Tahap ini belum lepas lagi. Asalnya marang yang ingin membawa usul. Diberi dua peluang tetapi Marang mohon ditangguhkan.

Kemudian PM dan TPM membuat kenyataan bahawa kerajaan akan mengambilalih. Kali pertama PM sebut dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016. Berikutnya TPM sebut dalam beberapa kenyataan media. Sahabat saya YB Takiyuddin Hassan juga memberi reaksi bahawa lebih mudah kiranya kerajaan yang bawakan usul ini. Saya dari awal lagi bersetuju cara ini. Sebab kerajaanlah yang menguasai majoriti dalam parlimen…134 kerusi, sedangkan PAS hanya 14 kerusi sahaja.

Hanya bilamana usul untuk meminda Akta 355 dibawa dan dipersetujui, barulah butiran yang dicadangkan dibuat pindaan akan dibentang. Pada tahap ini kita sebut Rang Undang-Undang 355. Untuk membawa usul pun, pembawa usul mesti maklumkan alasan. Alasan Marang ialah “menambah had hukuman kesalahan jenayah syariah, kecuali hukuman mati”.

Apabila tiba pada tahap membentang rang undang-undang butiran terperinci seumpama jenis-jenis kesalahan syariah (Hudud atau Takzir) beserta hukuman-hukuman yang dikenakan perlulah dinyatakan dalam rang undang-undang tersebut. Tiada sesiapapun yang mengetahui isi kandungan pindaan ini kerana ianya belum dibentangkan lagi. Ia belum dibentang lagi kerana usul untuk memindanya pun belum dibawa lagi.

Sidang parlimen kali ini berakhir 6 April. Lazimnya ditambah lagi dua hari kiranya rang undang-undang yang tersenarai dalam kertas aturan persidangan perlu dihabiskan. “RUU355” masih ada peluang. Kiranya speaker memberi ruang, Marang mesti menggunakan kesempatan itu untuk membentang usul yang telah dua kali tertangguh. Kiranya lepas, itu dikira melepasi bacaan kali pertama. Maka pihak kerajaanlah yang akan mengambil tanggungjawab untuk bacaan kali kedua dan kali ketiga. Marang tidak lagi terlibat. Itu sudah menjadi urusan kerajaan.

PM Najib seusai mempengerusikan mesyuarat BN semalam menyatakan “…kerajaan tidak akan membawa usul meminda Akta 355 sebab tidak mendapat keputusan konsensus parti-parti dalam BN (baca MCA, MIC, Gerakan, komponen Sabah Sarawak – tidak bersetuju), adakah kiranya Marang melepasi bacaan kali pertama, kerajaan akan bersetuju membawa untuk bacaan kali kedua dan ketiga? Sudah terang lagi bersuloh!

Keputusan BN semalam juga bermaksud kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pindaan ke atas Akta 355. Noktah.

SAIFUDDIN NASUTION
SETIAUSAHA AGUNG PKR

Ulasan blog – Walaupun Pas tetap mengatakan mereka tidak terjejas apa-apa dengan gagalnya Akta 355 menjadi usul kerajaan, sebaliknya akan meneruskan dengan perancangan asal dengan membawanya sebagai usul persendirian, jika kita fahami dan teliti kenyataan Rafizi dan Saifuddin di atas, seorang masih Ahli Parlimen dan seorang lagi bekas Ahli Parlimen, tidak diragui bahawa motif dan mainan politik di sebaliknya adalah amat jelas sekali.

Untuk memastikan faedah politiknya kekal dan dalam masa yang sama menjadikan Pas terus meletakkan harapan kepada usul tersebut dapat dibentang dan disokong, maka Akta 355 akan terus dipermain-mainkan dengan masa.

Sehingga bila?

Ia akan terus ditangguhkan sehingga pilihanraya diadakan. Sehingga tempoh itu, UMNO kekal memberi gambaran akan memberi sokongan sambil mengekalkan hubungan mesra dengan Pas, sedangkan hakikatnya penolakan Najib menjadikan Akta 355 sebagai usul kerajaan kerana ketiadaan konsensus adalah jelas memberi maksud bahawa kerajaan memang tidak bersedia sama-sekali untuk meminda itu.

ShahbudinHusin