AKHBAR UMNO CUBA ‘TUTUP’ ISU 1MDB, KATA DR MAHATHIR

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad hari ini membangkitkan tentang cubaan Utusan Malaysia untuk “menutup” skandal 1Malaysian Development Bhd (1MDB), di mana peguam negara Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menggelarnya sebagai kleptokrasi paling teruk di dunia.

Dalam artikel terbaru di blognya, Dr Mahathir menyentuh mengenai percanggahan laporan akhbar berbahasa Melayu milik Umno itu mengenai 1MDB, dengan kenyataan Peguam Negara AS Jefferson Sessions baru-baru ini.

Memetik peguam AS Tom Goldstein, Utusan Malaysia melaporkan tiada tindakan diambil terhadap 1MDB di AS, kecuali berkenaan aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.

“Malah sehingga sekarang, terdapat sedikit sahaja aktiviti berkaitan dengan kes itu dan tiada siapa yang dinamakan sebagai sasaran jenayah,” kata Goldstein dipetik sebagai berkata ketika menyampaikan ucapan sempena Litigasi Jenayah di AS, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam semalam.

Tanpa menambah komen peribadinya, Dr Mahathir membangkitkan mengenai percanggahan itu dengan memetik ucapan Sessions mengenai 1MDB di “Global Forum on Asset Recovery” di Washington DC dalam artikel terbaru di chedet.cc.

Sessions sebelum ini berkata hampir separuh daripada kutipan hasil rasuah bernilai AS$3.5 bilion yang dirampas oleh AS datang daripada saman sivil berkaitan 1MDB.

“1MDB dicipta oleh kerajaan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka panjang bagi manfaat rakyat Malaysia.

“Tetapi pegawai yang didakwa rasuah dan sekutu mereka dilaporkan menggunakan dana 1MDB untuk perbelanjaan mewah seperti AS$200 juta untuk hartanah di California Selatan dan New York, AS$130 juta dalam karya seni, AS$100 juta untuk muzik dan kapal layar AS$265 juta.

“Secara keseluruhan, pegawai 1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih AS$4.5 bilion menerusi urus niaga yang kabur dan kompleks dan ‘shell company’ dengan akaun bank di pelbagai negara seperti Switzerland, Singapura, Luxembourg dan AS.

“Ini kleptokrasi paling teruk,” kata Sessions pada forum itu.

Sessions berkata AS memulangkan AS$119 juta kepada Itali, AS$115 juta kepada Kazakhstan, lebih AS$20 juta (Peru) dan berjuta lagi pada Nicaragua, Korea Selatan dan Taiwan sejak 2004.

Ketua pendakwa raya AS itu berkata mendapatkan semula semua itu hanya boleh dilakukan dengan bantuan guaman persefahaman daripada rakan penguatkuasaan undang-undang.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia setakat ini enggan bekerjasama dengan siasatan pendakwa raya 1MDB luar negara, termasuk menolak permintaan bantuan undang-undang persefahaman dari Switzerland.

Siasatan tetap dijalankan di luar negara walaupun Perdana Menteri Najib Razak terus-terusan menafikan berlaku salah laku dengan1MDB dan kenyataannya sebelum ini bahawa Malaysia akan memberi kerjasama dengan siasatan antarabangsa.

–  https://www.themalaysianinsight.com

.