AKHBAR: PEMIMPIN PEKERJA BANGLADESH DITENDANG DI KLIA

Sebuah akhbar Bangladesh mendakwa seorang pemimpin kesatuan sekerja negara itu ditahan dengan layanan buruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang serta diusir pulang tanpa sebab.

The Daily Star melaporkan Setiausaha Agung Persekutuan Pekerja Pakaian Tekstil Bangladesh Tapan Saha, ditahan di KLIA pada 17 November lalu ketika mahu menghadiri Persidangan Jaringan Pemantauan Syarikat Rentas Negara Asia 2017.

“Saya dilayan tidak berperi kemanusiaan… Saya juga diganasi secara fizikal.

“Telefon saya dirampas dan saya tidak dapat menghubungi penganjur,” beliau dilaporkan berkata kepada The Daily Star hari ini.

Katanya, beliau ditahan dalam bilik besar bersama 70 orang lagi dari pelbagai negara.

Bagaimanapun, dakwanya, warga India, Pakistan dan Bangladesh didakwa diminta duduk di lantai.

“Sebagai warga Bangladesh saya rasa terhina,” katanya lagi.

Tapan juga berkata, selepas makan tengah hari beliau rasa tidak sihat dan duduk di sofa.

Akbar itu bagaimanapun mendakwa beliau kemudian ditendang oleh seorang pegawai di bahagian perut.

“Kamu ahli perniagaan ke?” soal pegawai itu, menurut Tapa.

Tapan turut membuat aduan rasmi kepada Kedutaan Malaysia di Dhaka pada 27 November susulan insiden itu.

Menurut aduan itu, yang salinannya dilihat Malaysiakini, Tapan menuntut pegawai-pegawai terlibat disiasat, pemulangan wang yang didakwa diambil daripadanya secara tidak sah serta pembayaran ganti rugi daripada kerajaan Malaysia.

Beliau juga mahu statusnya yang pernah diusir daripada Malaysia dipadam.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan imigresen susulan dakwaan itu.

– M’kini

.