AKHBAR AUSTRALIA PUJI PAKATAN DR M-ANWAR LAWAN NAJIB

Meskipun tarikh pilihan raya ke-14 masih belum diumumkan perkembangan politik di negara ini kelihatan semakin rancak dengan pelbagai parti mula menggerakkan jentera masing-masing dan rundingan agihan kerusi terus berjalan.

Parti-parti pembangkang yang pernah mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang rasis dan pengkhianat politik pada masa lalu, kini menamakannya sebagai calon perdana menteri mereka dan bersumpah bahawa beliau komited untuk memulakan pembaharuan.

Malah bekas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menuduh Mahathir adalah dalang yang menghumbannya ke penjara atas tuduhan yang direkayasa, telah memutuskan untuk melupakan kisah silam dan bekerjasama dengan bekas seterunya itu.

Dalam satu lidah pengarang yang diterbitkan hari ini, akhbar The Australian, walaupun meramalkan tugas yang sukar untuk gabungan pembangkang yang tidak diduga itu, namun, memuji kesediaan Dr Mahathir dan Anwar untuk bekerjasama.

“Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003 selepas pemerintahan kuku besi selama 22 tahun sebagai pemimpin Umno … Anwar adalah timbalan Mahathir ketika mereka tidak lagi sehaluan 20 tahun lalu. Anwar kemudiannya menjadi sasaran tuduhan kejam yang meragukan sehingga menyaksikan dirinya dihumban ke penjara.

“Namun kedua-dua mereka – Mahathir seusia dengan Robert Mugabe ketika beliau digulingkan, dan Anwar dari sel penjara – telah membuat percaturan untuk menumbangkan Umno daripada penguasaan ke atas Malaysia selama 60 tahun.

“Kestabilan negara itu amat penting di rantau ini, atas sebab itu Australia mempunyai hubungan pertahanan dan keselamatan yang erat dengannya. Mahathir akan memimpin kempen Pakatan Harapan yang berpecah-belah… Sekiranya beliau menang, beliau akan memohon pengampunan diraja untuk membolehkan Anwar mengambil alih sebagai perdana menteri.

“Gabungan pembangkang di bawah kepimpinan seorang yang keras kepala dan kontroversial seperti Mahathir (terbaru, pada Mei lalu, beliau menegaskan bahawa Amerika Syarikat dan Israel bertanggungjawab terhadap 9/11) menghadapi tugas berat menentang Umno yang dipimpin Najib. Tinjauan menunjukkan politik berasaskan kaum masih mendapat tempat dan sokongan besar di kalangan masyarakat Melayu-Islam yang memihak Umno.

“Tetapi Mahathir dan Anwar berhak mendapat pujian kerana cuba mengheret Najib dan Umno ke muka pengadilan berhubung 1MDB dan skandal lain yang telah memusnahkan kedudukan Malaysia di mata dunia. Rasuah di sebalik skandal 1MDB mestilah menjadi tumpuan dan perhatian dalam pilihan raya ini,” katanya.

Najib sebaliknya, berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh Mahathir bersekongkol dengan musuhnya untuk menjatuhkannya.

Sementara itu, Washington Post memberi tumpuan terhadap umur Mahathir, dengan mengemukakan persoalan: “Apabila menjadi pemimpin dunia, berapa umur terlalu tua itu?”

“Sudah tentu ada manfaat untuk mempunyai pemimpin tua di pejabat – mereka boleh menggunakan kebijaksanaan yang terkumpul selama beberapa dekad membuat keputusan peringkat tertinggi, serta juga bagi mendapatkan sokongan dan pengiktirafan yang diperlukan.

“Tetapi tidak dinafikan bahawa menjadi pemimpin dunia juga ada bebanan kerja dan keperluan perjalanan yang sukar bagi beberapa calon yang berusia untuk tangani,” katanya.

– M’kini

.