AKHBAR: 1MDB MUNGKIN TERLEPAS BAYARAN SEKALI LAGI

1MDB tidak mungkin dapat memenuhi tarikh akhir baru untuk membayar AS$628.75 juta (RM2.69 bilion) kepada anak syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC), PJSC milik Abu Dhabi menjelang tengah hari ini, lapor The Edge Markets.

Tempoh baru itu – iaitu lanjutan selama lima hari perniagaan – diberikan oleh IPIC setelah 1MDB gagal memenuhi kewajibannya untuk membayar jumlah tersebut pada 31 Julai.

Tempoh bayaran pertama itu ditetapkan dalam perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan IPIC pada bulan April lalu untuk mengelakkan proses timbangtara berhubung dana yang terhutang kepada firma Abu Dhabi itu.

Menurut The Edge Markets, kegagalan membuat bayaran hari ini akan mengakibatkan caj faedah tambahan kepada 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

“Setakat ini, 1MDB telah menyatakan bahawa firma itu memerlukan sekurang-kurangnya satu bulan lagi sehingga akhir bulan Ogos untuk mengatur dana untuk membuat bayaran tersebut,” petik akhbar itu.
Pembayaran yang dijadualkan ini adalah yang pertama dari 1MDB kepada IPIC. Urus niaga kedua yang sama perlu dibayar pada 31 Disember tahun ini.

Jumlah yang perlu dibayar oleh 1MDB kepada IPIC adalah AS$1.205 bilion (RM5.16 bilion) sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian.

– M’kini

.