AKAR UMBI TOLAK CALON BAHARU

PEMILIHAN Naib Presiden MCA, Datuk Dr Hou Kok Chung sebagai calon untuk Parlimen Tebrau pada PRU14, menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi bahagian berkenaan.

Pengumuman dibuat Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini sememangnya mengejutkan pemimpin dan ahli-ahli bahagian Tebrau kerana Kok Chung dianggap ‘orang luar’ Tebrau.

Kok Chung adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi pada 2008 hingga 2013. Beliau ketika itu ialah Ahli Parlimen Kluang.

Sebelum ini, penyandang kerusi Parlimen Tebrau, Khoo Soo Seang, 71, telah memberikan kenyataan secara terbuka untuk tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kali ini. Beliau sendiri telah melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian MCA Tebrau bulan lalu.

Oriental Daily melaporkan, sebelum pengumuman dibuat Tiong Lai, Soo Seang dipercayai meminta pucuk pimpinan MCA agar tidak memilih ‘orang luar’ bertanding di kerusi Parlimen Tebrau.

Bagaimanapun, hasrat akar umbi tidak diendahkan oleh MCA pusat apabila melantik Kok Chung yang tewas di Parlimen Kluang pada PRU lalu, datang ke Tebrau menggantikan Soo Seang.

Soo Seang ketika ditemu bual oleh akhbar ini menjelaskan, beliau mengakui pasti ada ahli-ahli di bahagiannya yang tidak setuju dengan keputusan MCA pusat itu.

“Bagaimanapun, saya mendapati jumlah ahli yang terbabit tidak ramai. Saya yakin akan memujuk mereka sebelum tiba PRU agar memberikan sokongan penuh kepada calon baharu yang mewakili parti,” katanya.

– Sinar Harian

.