Ahmad Yakob pangku jawatan Mursyidul Am

KOTA BHARU – Datuk Ahmad Yakob kini memangku jawatan Mursyidul Am Pas bagi penggantian sementara selepas pemergian Datuk Dr Haron Din, semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanggungjawab tersebut diserahkan kepada Ahmad Yakob berkuatkuasa serta merta selepas kematian arwah Haron Din.

“Kita ada timbalan (Ahmad Yakob) yang boleh menjalankan tugas itu, sebagai pengganti Allahyarham. Sementara habis tempoh ini maka timbalanlah akan ambil alih. Sebelum ini ketika beliau (arwah Haron Din) uzur pun tanggungjawab itu telah dikongsi bersama (Ahmad Yakob)”,katanya kepada media disini.

Beliau meluangkan masa kira-kira dua jam bersama rakyat kelantan di program Munajat Perdana Rakyat Kelantan Menyokong RUU 355 di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mengatakan DAP menghina kematian Datuk Dr Haron Din termasuklah mempertikaikan kenapa arwah dibawa berubat ke luar negara, Abdul Hadi memberitahu, DAP seharusnya belajar mengenali Islam dengan lebih mendalam kerana Islam adalah terbuka.

“Dia (DAP) kena belajar Islam lah, Islam ini terbuka, perubatan atau pengajian ke, semua kebaikan kita terima dengan terbuka. Tidak kira dari mana, seluruh dunia. Nabi suruh belajar ilmu sehingga ke negeri Cina, ilmu perubatan. Tidak kisah dimana pun,” katanya. – Mstar

.