AHMAD SAID MASIH BERTEKA-TEKI

KUALA TERENGGANU – Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said masih berteka teki mengenai status karier politiknya sama ada bertanding atau tidak dalam PRU14.

Tindakan bekas Menteri Besar Terengganu itu menyifatkan ucapan ketika perbahasan Bajet Terengganu 2018 sebagai ucapan terakhir sebelum PRU14 mengundang persoalan dan tanda tanya dari banyak pihak.

Pada awal ucapan beliau dalam sesi perbahasan pembentangan bajet Terengganu 2018 di Sidang Dun hari ini Ahmad ada mengatakan ia adalah ucapan terakhirnya sebelum PRU14.

“Ini mungkin barangkali ucapan terakhir saya sebagai Adun Kijal, dan saya berharap bahawa Kijal terus jadi ‘fixed deposit’ kepada BN.

“Apa yang penting kita suarakan hasrat rakyat dan beri perkhidmatan kepada rakyat, bukan sekadar ucapan, tetapi perlaksanaan yang lebih penting. Mudah-mudahan ALLAH SWT rahmati kita,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad turut mengambil peluang memohon maaf kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam karier politiknya.

“Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua pihak dalam dewan dan luar dewan sepanjang saya pernah menerajui kerajaan negeri, semasa jadi wakil rakyat di dewan yang mulia ini.

“Sekali lagi saya rakam ucapan kasih kepada YDP (Yang Dipertua Dun), ahli yang berhormat, ketua jabatan, mudah-muadahan ALLAH rahmati kerajaan dan rakyat Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad ketika ditemui pemberita di luar dewan hanya memberikan jawapan ringkas terhadap persoalan itu.

“Terserah pada wartawan untuk tafsir sendiri, saya no komen,” katanya.

Ahmad dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sejak 2008 hingga 12 Mei 2014 dan menjadi Adun Kijal sejak 1990.

Pada PRU12, Ahmad memenangi Dun Kijal menewaskan calon Pas, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi dengan memenangi 8,169 undi sementara Hazri 5,012 undi.

Pada PRU13, Ahmad sekali lagi memenangi kerusi Kijal dan mengalahkan Hazri (Pas) dengan undian majoriti sebanyak 4,204.

– Sinar Harian

.