AHLI POLITIK TERTENTU AKAN TINGKATKAN JEJAK KARBON, KATA PM

Dasar-dasar yang diperjuangkan oleh “ahli politik tertentu” bertujuan untuk meningkatkan jejak karbon di Malaysia ketika ia sebenarnya perlu dikurangkan, kata perdana menteri.

Tanpa menyebut mana-mana nama, Datuk Seri Najib Razak berkata ahli politik terbabit menjanjikan pengurangan tol dan subsidi minyak.

Keputusan itu katanya akan membawa lebih banyak kenderaan di atas jalan raya.

“Agak jauh daripada hakikat, mereka tidak tahu bagaimana mereka membayar harga polisi ini.

“Mereka juga akan menggalakkan lebih banyak kenderaan di jalan raya, dengan itu meletakkan lebih banyak karbon dioksida di udara dan menyumbang kepada jejak karbon yang harus kita tolak dalam usaha menjadikan dunia ini sebuah persekitaran yang selamat untuk kemanusiaan.

“Sebaliknya saya berjanji kerajaan ini tidak akan meletakkan kepentingan politik jangka pendek lebih penting berbanding kepentingan negara.

“Keselamatan rakyat Malaysia pada tahun-tahun akan datang akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaannya Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam Belanjawan 2018 yang dibentangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) baru-baru ini gabungan pembangkang itu mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk subsidi minyak yang didakwa akan membolehkan petrol dan diesel dijual pada harga 20 sen lebih murah bagi setiap liter kepada pengguna.

HARAPAN juga menggesa supaya kutipan tol di beberapa lokasi dimansuhkan.

Perdana menteri dalam ucapannya hari ini turut menyentuh isu perubahan cuaca, selain keganasan, ancaman siber, kemiskinan, penagihan dadah dan rumah mampu mili

Kata Najib Malaysia tidak boleh menunggu negara Barat mengetuai gerakan menangani isu perubahan iklim dunia kerana ketika perdebatan mengenainya berlangsung, bahaya yang terhasil daripada fenomena itu menjadi ketara.

Malah katanya Malaysia turut berdepan dengan beberapa kesan daripada perubahan berkenaan.

– M’kini

.