‘AHLI PAS TAK PERLU BIMBANG’

SHAH ALAM – Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai jalinan hubungan politik Pas-Umno kini.

Ujarnya, beliau faham mengenai kebimbangan sesetengah rakannya dalam Pas, namun katanya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah masak dengan ‘permainan’ Umno.

“Ana sangat memahami kebimbangan sahabat-sahabat dalam melihat percaturan antara Pas-Umno.

“Jangan bimbang. Semua kita tahu bahawa Umno sedang lemas dan mencari penyelamat politik mereka. Mereka boleh bermuka-muka, seperti kebiasaan mereka selama ini.

“Tuan Guru sangat sedar dan arif terhadap tipu muslihat Umno dan seangkatan dengan Umno. Bukan sehari dua Tuan Guru dan pimpinan Pas mengenali Umno. Puluhan tahun yang penuh perit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, selama pimpinan Pas tetap menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan prinsip utama, fiqh sirah sebagai garamnya, pengalaman sebagai pemanisnya, selama itulah parti itu berada dalam pemeliharaan ALLAH dalam mencapai mardhatillah.

“Politik dan dakwah serta tarbiyah yang kita bawa ini tidak terpisah-pisah. Kita tak akan rugi, kerana kerja buat kita untuk meninggikan kalimah ALLAH ini akan dikira sebagai amal kebaikan di sisi ALLAH. Bekalan kita mengadap ALLAH  di hari pengadilan-NYA. Tetaplah kita istiqamah, insya-ALLAH,” katanya.

Hubungan Pas dan Umno kini semakin mesra, selepas dilihat beberapa kali kedua-dua presiden parti iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hadi duduk semeja bagi membincangkan perkara yang melibatkan kepentingan ummah.

Ia rentetan daripada pendekatan Pas kini yang mengamalkan amalan politik matang.

Selain bersama dalam isu Pindaan Akta RUU355, terbaharu Najib dan Hadi sepentas dalam Himpunan Soladariti Untuk Ummah Rohingya.

SINAR HARIAN

.