AHLI PARLIMEN PARIT BUNTAR SERAH USUL UNDANG-UNDANG HARMONI NEGARA

TIGA rang undang-undang (RUU) persendirian bermatlamat untuk mengurangkan kadar jenayah kebencian dan mempromosikan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia diserahkan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa menghantar usul itu untuk kerajaan membentangkan tiga RUU berkenaan, pada minggu lalu.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang bagi kali terakhir untuk tahun ini bermula 23 Oktober hingga 30 November.

Usul Mujahid bagi memperkenalkan RUU Jenayah Perkauman dan Agama, RUU Keharmonian Negara dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Keharmonian Negara dan Rekonsiliasi itu diserahkan kepada setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah pada Khamis.

“Sudah tiba masanya untuk ada undang-undang bagi memastikan keharmonian menjadi keutamaan negara. Cadangan saya tidak terhenti hanya pada kebebasan bersuara, tetapi memastikan kebebasan itu tidak digunakan sebagai alasan untuk menghina kaum dan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Walaupun ada undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Multimedia dan Kanun Keseksaan, tidak ada undang-undang untuk mengekalkan keharmonian antara kaum di negara ini.”

Tiga RUU itu ang menjadikan perbuatan diskriminasi sebagai jenayah dicadangkan oleh Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) pada 2014 kepada kerajaan, bersama dua lagi RUU lain, tetapi usaha itu tidak berhasil.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah satu-satunya ahli Parlimen pembangkang yang dilantik sebagai salah seorang daripada 30 anggota MPPN yang dilancarkan pada 2013 itu. Beliau masih ahli PAS ketika itu.

MPPN dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk menangani pelbagai isu berkaitan polarisasi kaum dan agama, perpecahan dan diskriminasi, dalam usaha mencapai perpaduan negara.

Majlis itu dibubarkan pada pertengahan 2016. Tidak ada satu pun daripada RUU itu yang sepatutnya menggantikan Akta Hasutan, berjaya digubal. Pentadbiran Najib kemudian mengukuhkan Akta Hasutan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.