‘AHLI KELUARGA SEMUA DIBUNUH”

IPOH – “Ayah, emak dan lapan adik-beradik saya telah dibunuh dan sampai ke hari ini, saya sendiri tidak tahu di mana jasad mereka.”

Itu antara luahan Yahya Hussain,  22, mengenai nasib malang yang menimpa keluarganya dan umat Islam etnik Rohingya lain di Rakhine, Myanmar.

Menurutnya,  sejak sebulan lalu perkampungannya di daerah Arakan Mundo telah diserang   tentera Myanmar yang dilengkapi pelbagai senjata ketenteraan.

Katanya, ribuan penduduk di daerah perkampungannya itu juga telah dibunuh dan diseksa tanpa sebarang rasa belas ihsan.

“Sehingga pada satu ketika, mereka menggunakan helikopter untuk mengebom perkampungan kami bagi tujuan membunuh orang ramai, “ katanya.

Dia berkata demikian kepada media ketika ditemui di Majlis Solidariti Rohingya dan Kepedulian Ummah, di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, kelmarin.

Pemuda yang telah lebih dua tahun bekerja di Perak itu turut sebak selain meminta masyarakat dunia terutama yang berada di Malaysia supaya membantu mereka.

“Kita minta tolong orang Muslim satu dunia termasuk Malaysia, Indonesia dan sebagainya hulurkan bantuan kepada keluarga, rakan-rakan kami yang terperangkap di sana,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Abd Rashid Kafailullah, 20,  berkata, sehingga kini dia tidak mengetahui nasib keluarganya sama ada masih hidup atau sebaliknya.

Katanya, dia pernah beberapa kali cuba menghubungi ahli keluarganya yang menetap di Boli Bazzar, Utara Muangdaw namun usahanya menemui jalan buntu.

“Saya sendiri pun tidak tahu apa yang terjadi kepada keluarga terutama bapa saya.

“Saya juga pernah menelefon mereka di sana namun tiada sebarang jawapan yang diterima,” katanya.

– Sinar Harian

.