AG KATA TAK PERNAH ARAH SIASATAN KES SRC DIHENTIKAN

Setelah membersihkan Datuk Seri Najib Razak 16 bulan lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali kini berkata NFA (tiada tindakan lanjut) bukan bermakna sesuatu kes itu ditutup.

Mengulas wang RM42 juta daripada SRC International yang berada dalam akaun bank peribadi perdana menteri, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengakhiri siasatan berkenaan.

Ini kerana siasatan itu “sudah agak lama” dan katanya, beliau menjangkakan ia akan dapat disiapkan tidak lama lagi, mungkin dalam tempoh kira-kira sebulan.

Portal The Insight Malaysia juga memetik Apandi sebagai berkata beliau tidak pernah mengarahkan SPRM untuk menghentikan siasatan kes berkenaan.

“Bila saya kata tidak ada lagi siasatan (di sidang media pada Januari 2016), ia mengenai RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi perdana menteri,” katanya.

“Bila kami isytihar NFA (tiada tindakan lanjut), ia bermakna kami letak ia di tepi. Kecuali dan jika ada bukti baharu, waran dikeluarkan untuk fail dibuka semula dan disiasat sekali lagi, kami akan buat begitu.

“Tidak ada fail yang tutup secara kekal bila kami kata NFA, walaupun fail 1MDB,” katanya

Mengenai alasan, Apandi tidak memperbetulkan salah tanggapan berhubung kes itu sebelum ini, beliau berkata ini adalah kerana beliau telah dinasihatkan supaya tidak bercakap dengan media.
“Selepas sidang akhbar itu, saya dinasihatkan supaya jangan bercakap dengan media, dan sebab itu saya menerima layanan yang teruk,” katanya.

Pada sidang akhbar 26 Jan 2016, Apandi berkata, tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM berhubung derma RM2.6 bilion dan dana RM42 juta SRC International yang berada dalam akaun Najib.

– M’kini