ADUN UMNO: DEDAHKAN KERABAT JUAL PINGAT

Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno di Johor menggesa pihak berkuasa mendedahkan kerabat diraja yang didakwa terlibat dalam penjualan pingat istana.

Tengku Putra Haron Aminnurashid berkata orang ramai berhak untuk tahu siapa yang berjaya mendapat gelaran kehormat melalui jalan itu.

“…Dan dalang mana dalam kerabat diraja yang bertanggungjawab atas kesilapan dalam gelaran tertinggi negara ini,” kata ADUN Kempas dalam tulisan di blog bertajuk “Reveal the royal culprit”.

Tengku Putra berkata gelaran kehormat sepatutnya diberikan kepada pihak yang berkhidmat pada negara ini dan bukan menjualnya kepada pembida tertinggi.

Beliau juga berkata sesiapa yang didapati membeli pingat haruslah dilucutkan gelaran serta-merta manakala pihak yang menerima rasuah pula harus didedahkan.
“Mereka ini mungkin ada kekebalan daripada disabitkan kesalahan atau diberi pengampunan, Tetapi rakyat harus tahu siapa mereka ini,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang ‘Tan Sri’ ditangkap atas dakwaan cuba merasuah Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ibrahim supaya mencadangkan namanya kepada ketua setiausaha kerajaan untuk mendapatkan pingat.

Ahli perniagaan 54 tahun itu ditahan selepas sultan mengetengahkan isu itu.

– M’kini