ADUN PAS S’GOR TAK BOLEH DIBELI, KATA ISKANDAR

Bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad hari ini menegaskan bahawa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS di Selangor tidak boleh dibeli untuk menggulingkan kerajaan negeri.

Beliau yang juga exco kanan kerajaan negeri Selangor berkata, nilai semua wakil rakyat parti Islam itu tidak menyamai apa jua jumlah wang yang mahu dihamburkan untuk dibeli oleh mana-mana pihak.

“Sebagai exco kanan kerajaan negeri Selangor, saya ingin menegaskan di sini bahawa exco-exco dan ADUN PAS di Selangor tidak boleh dibeli untuk menggulingkan kerajaan negeri hari ini.

“Tidak ada jumlah wang yang akan dapat membeli mana-mana exco atau ahli dewan negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang baru bersama UMNO,” kata beliau dalam kenyataan.

Iskandar turut memberikan contoh ketika kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi, kerajaan negeri itu tidak tumbang kerana tidak ada satu pun ADUN PAS yang dapat dibeli.

“Oleh yang demikian, telah terbukti bahawa wakil-wakil rakyat PAS mempunyai integriti yang tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka,” jelas beliau.

Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, khabar angin kononnya ada wakil rakyat PKR akan berpaling tadah sengaja direka parti itu untuk mengalih perhatian ramai daripada masalah yang melanda mereka.

Noh yang juga menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan menambah, helah berkenaan memang menjadi kegemaran PKR sebagai cara untuk melupakan sementara kemelut yang melanda ketika ini.

“Itu memang cara mereka. Kalau tak selesaikan masalah, mereka akan cipta masalah baru,” tambah Noh.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, rakyat Selangor telah mendapat pembelaan yang sewajarnya sejak Mac 2008.

“Mereka telah menikmati manfaat dari pelbagai program-program kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) atau yang sekarang ini dikenali sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).
“Adalah tidak masuk akal untuk menyerahkan kembali negeri ini kepada Umno dan sekaligus merungkai segala inisiatif-inisiatif yang telah diusahakan dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri hari ini,” jelasnya.

Justeru, katanya, sebarang usaha untuk membeli exco atau ADUN PAS adalah sia-sia kerana ia tidak akan berjaya.

“Mandat besar yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum 2013 tidak akan dikhianati,” ujar beliau.

– M’kini

.