ADUN MCA FIKIR PROTES MENCUKUPI

ADUN Titi Tinggi, Khaw Hock Kong menjelaskan kepada MCA bahawa beliau membantah pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, walaupun bukan dengan cara yang dikehendaki parti itu.

Menurut China Press, yang memetik sumber, Khaw telah menjelaskan kepada jawatankuasa pusat MCA semalam bahawa protes itu adalah dalam bentuk keluar dewan.

Khaw memberitahu jawatankuasa pusat itu bahawa keluar dewan adalah tanda bantahan yang sah dan parti-parti pembangkang telah melakukan perkara yang sama sebelum ini.

Ini, menurut laporan itu, tidak memuaskan hati jawatankuasa pusat, yang mengeluarkan “amaran keras” kepada Khaw.

Pada 8 Disember, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan pindaan itu yang akan membolehkan sama ada ibu atau bapa menukar agama anak mereka kepada Islam.

Terdapat hanya satu undi menentang iaitu ADUN Indera Kayangan, Chan Ming Kai dari PKR. Chan dan Khaw adalah dua wakil rakyat bukan Islam di Perlis.
Keputusan Khaw tidak mengundi menentang pindaan itu menyebabkan kemarahan pemimpin MCA yang mendakwa mereka telah berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk meminda undang-undang bagi mencegah pertukaran agama kanak-kanak secara unilateral.

Persidangan Dewan Rakyat menetapkan untuk meluluskan pindaan kepada Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pada bulan Mac, dengan tujuan untuk mencegah pasangan mendapatkan hak penjagaan kanak-kanak dengan menukarkan agama anak mereka kepada Islam.

Menurut Sin Chew Daily, beberapa anggota jawatankuasa mahu beliau digantung, sementara yang lain mencadangkan cara-cara untuk mengelakkan situasi yang sama pada masa hadapan. Perbincangan berlangsung selama satu jam.

– M’kini

.