ADUN Jorak: ‘Hanya sekadar pertanyaan, bukan cadangan’

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menegaskan isu sama ada kerajaan perlu melucutkan kewarganegaraan mereka yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan hanyalah sekadar pertanyaan dan bukan cadangan.

Ini kerana, menurut setiausaha agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baru dilantik itu, persoalan tersebut dibangkitkan beliau ekoran maklumat yang diterimanya.

“Saya tanya apakah yang membawa maksud soalan, saya tak kata saya mencadangkan sebaliknya saya tanya apakah langkah kerajaan atau apakah kerajaan akan melucutkan kerakyatan kepada mana-mana orang (termasuk Melayu, Cina dan India) yang tidak boleh bercakap bahasa Malaysia, bukan yang tidak fasih atau tidak mahir.

“Kerana saya dapat maklumat ada rakyat Malaysia yang betul-betul tak boleh cakap bahasa Malaysia,” kata Shahruddin dalam temubual ekskluasif bersama Malaysiakini.

ADUN Skudai, Dr Boo Cheng Hau sebelum ini mempersoalkan sama ada BERSATU akan membuat dasar agar kerajaan melucutkan kewarganegaraan mereka yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan jika berkuasa kelak.

Ini berikutan kenyataan Shahruddin berhubung perkara itu dua tahun lalu dan kini beliau dilantik sebagai setiausaha agung parti baru itu Khamis lepas.

Menurut Shahruddin, perkara itu dibangkitkan beliau juga kerana keprihatinannya berkaitan soal bahasa dan langsung tidak terbit isu perkauman.

Mengambil contoh terdekat, Shahruddin berkata, masalah penguasaan bahasa Malaysia itu dialami oleh keluarga rakannya sendiri di mana anak-anak mereka tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan itu.

“Saya bagi contoh dalam keadaan mana yang orang Melayu langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Malaysia iaitu anak-anak yang membesar di luar negara dengan memegang pasport Malaysia.

“Saya dah jumpa kawan-kawan saya yang anaknya pemaustatin tetap sama ada di England, Australia atau pun di New Zealand, anak mereka tak faham apabila saya minta hitung 1 hingga 10.

“Tunjuk saya 5 pun tak tahu, kiri dan kanan pun tak tahu mana. Saya kata awak tak ada rasa ke sebagai orang Malaysia awak boleh faham bahasa Malaysia,” jelas Shahruddin.

Justeru, shahruddin mempersoalkan, dengan apa yang berlaku itu, apakah kerajaan masih perlu berdiam diri soal penguasaan bahasa Malaysia ini.

“Jadi, kalau begini punya teruknya apakah langkah kerajaan? Saya nakkan jawapan.

“Saya tak kata pada kerajaan mencadangkan supaya orang sebegini dibuang kerakyataannya.

“Ini kerisauan saya dan patutnya semua rakyat Malaysia risau tau, sebab ada orang yang tak tahu cakap Melayu atau pun bahasa Malaysia. Itu maksud saya,” kata Shahruddin.

Bahkan Shahruddin berkata beliau juga malu apabila tidak mampu bercakap dalam bahasa ibunda rakan-rakan Cina dan Indianya meskipun telah lama hidup dalam negara berbilang kaum ini.

“Saya juga malu kepada rakyat Malaysia sebab tak boleh cakap Mandarin. Saya malu sebab ramai rakan-rakan berbangsa Cina tapi kenapa kita tak boleh cakap bahasa mereka,” kata Shahruddin.

Tambah Shahruddin ekoran kelemahannya itu beliau menggesa ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar bahasa ibunda masyarakat Cina dan India sedia ada di negara ini.
“Saya prihatin tentang bahasa, ini (masalah penguasaan bahasa Malaysia) serius dan cari apa yang kita nak buat dan jangan biarkan saja, sebab itu saya juga hantar anak-anak saya ke sekolah Cina, bukan bersifat perkauman.

“Dalam dewan juga saya cakap kita mesti ajar anak-anak kita bahasa Mandarin. Saya juga cakap anak Melayu perlu belajar bahasa Tamil sebab kita rakyat berbilang kaum dan perlu belajar sikit-sikit,” kata Shahruddin.

Shahruddin meninggalkan Umno dan menyertai BERSATU minggu lepas dan selepas itu dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Institut Terjemahan & Pengerusi Buku (ITBM).

– M’kini

.