ADUN JOHOR BANTAH JUALAN ASET BEHARGA GLC

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak perlu menjual aset yang baik serta berpotensi, kata ADUN Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid.

“Maka Kempas berharap tidak ada rancangan senang di masa-masa akan datang untuk menswastakan atau menjual aset-aset yang baik dan berpotensi kepada mana-mana pihak lebih-lebih lagi jika GLC itu sendiri mampu untuk memajukan projek tersebut,” kata ADUN Umno itu.

Beliau berkata demikian di Dewan Undangan Negeri Johor ketika perbahasan titah Sultan Johor yang dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor.

Tengku Putra Haron berkata aset dan projek yang baik serta menguntungkan dijual kepada orang lain sedangkan anak syarikat kerajaan dibiarkan dengan hanya aset kurang berpotensi dan projek yang merugikan sahaja.

Beliau merujuk kepada titah ucapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dibuat pada perasmian DUN Johor pada Khamis lalu.

Selain mengingatkan GLC supaya tidak menjalankan perniagaan di luar bidang yang ditetapkan, Sultan Ibrahim bertitah, anak-anak syarikat milik kerajaan negeri juga harus mempunyai urus tadbir yang teratur dan mengikut garis panduan ditetapkan.

Baginda juga bertitah kepada mereka yang bertanggungjawab dalam GLC supya jangan hanya pandai meminta bayaran gaji yang tinggi tetapi tidak memberi apa-apa pulangan kepada kerajaan.

MKINI

.