ADUN DENGKIL TEPIS NAMA DISEBUT CALON MB SELANGOR

WAKIL rakyat Dengkil, Shahrum Mohd Sharif tidak ambil kisah dengan spekulasi yang menyebut namanya antara calon Barisan Nasional (BN) untuk jawatan menteri besar Selangor sebaliknya mahu memberikan perhatian penuh kepada usaha memenangkan BN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Katanya, penentuan calon menteri besar itu seelok-eloknya diputuskan selepas BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya rasa ada ramai lagi calon BN yang layak dan kuat untuk jadi menteri besar berbanding saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Shahrom, beliau sendiri pun tidak tahu nasib politiknya – apakah akan dicalonkan semula, dan kalau dicalonkan lagi, akan bertanding di kerusi mana.

Shahrum, 45, adalah antara tiga nama yang disebut-sebut diteliti oleh Umno untuk menjadi calon menteri besar Selangor sebagai persiapan menawan semula negeri itu daripada pembangkang PH pada PRU14.

The Malaysian Insight difahamkan dua calon lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi yang juga ahli Parlimen Sungai Besar.

Shahrum adalah wakil rakyat penggal pertama yang mula menyertai pilihan raya pada 2013. Beliau menjadi calon BN menggantikan bekas wakil rakyatnya Marsum Paing, kini ketua bahagian Umno Sepang.

Pada pilihan raya itu, Shahrum satu-satunya calon BN yang menang dalam kawasan Parlimen Sepang itu.

BN hanya memenangi Dengkil tetapi kalah di Tanjong Sepat dan Sungai Pelek kepada PAS dan DAP. Kerusi Parlimen Sepang pula dimenangi oleh calon PAS, Hanipa Maidin yang kini menyertai Amanah.

Asal keluarga politik

Meski baru sepenggal menjadi Adun di Dengkil namun Shahrom bukan asing dalam dunia politik.

Shahrum berasal daripada keluarga politik kerana bapanya, Sharif Jajang juga pernah jadi Adun Dengkil dan exco kerajaan negeri Selangor sebelum bersara pada 2004

Malah sebelum dicalonkan di kerusi DUN Dengkil, Shahrom adalah pegawai khas kepada ahli Parlimen Sepang ketika itu, Zin Mohamed selain dilantik sebagai bendahari Umno Bahagian Sepang.

“Saya terlibat dalam poltik secara aktif sejak tahun 2008 selepas PRU12. Kira-kira setahun selepas pilihan raya, saya dilantik jadi pegawai khas dan juga bendahari Umno Bahagian.”

Shahrum mengakui pada mulanya beliau tidak terfikir atau berminat untuk mengikut jejak langkah bapanya menjadi wakil rakyat.

“Saya nampak tugas ahli politik amat mencabar. Apabila dibesarkan dalam keluarga politik kita lihat pengorbanan ayah dari segi masa tenaga dan wang ringgit… tidak terperi dan tiada masa terluang bersama dengan keluarga.

“Saya anggap saya mungkin tidak akan ikut jejak langkah ayahanda (saya). Saya tak terfikir langsung, tak terlintas di fikiran,” katanya.

Biarpun dapat membawa kemenangan pada BN di Dengkil pada PRU13, Shahrum Mohd Shariftidak ambil mudah untuk menghadapi PRU14. – Gambar fail EPA, 11 Januari, 2018.
Biarpun dapat membawa kemenangan pada BN di Dengkil pada PRU13, Shahrum Mohd Shariftidak ambil mudah untuk menghadapi PRU14. – Gambar fail EPA, 11 Januari, 2018.

Tetapi selepas sepenggal jadi wakil rakyat, Shahrum seronok melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya walaupun mengaku sukar kerana jadi wakil rakyat pembangkang yang tidak dapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

“Kekangan amat terbatas apabila menjadi wakil rakyat di Selangor sebagai pembangkang (sebab) kita tak tak dapat bantuan tapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk saya berkhidmat dengan baik.”

“Saya bersyukur saya dapat buat perubahan besar. Menjadi wakil rakyat ini macam jadi jambatan menyuarakan masalah rakyat,” katanya.

Cabaran PRU14

Biarpun dapat membawa kemenangan pada BN di Dengkil pada PRU13, Shahrum tidak ambil mudah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.

Katanya, sentimen pengundi sudah berubah seiring dengan bertambahnya jumlah pengundi daripada lebih kurang 38,000 pada 2013 kepada hampir 50,000.

“DUN Dengkil kita anggap sebagai kubu kuat Umno. Namun, kita tidak boleh ambil mudah dengan sentimen masyarakat.

“Kawasan Dengkil juga bukan lagi kawasan kampung tradisional. Sekarang kita ada 13 kampung tetapi taman perumahan juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan,” katanya, sambil menambah pada masa ini ada lebih 50 taman perumahan dalam kawasan itu.

Justeru, beliau menjangkakan persaingan sengit dalam pilihan raya depan namun yakin Umno Selangor mempunyai kelebihan sebagai penyandang di Dengkil.

Malah wakil rakyat anak tempatan itu juga terbuka dengan keputusan pucuk pimpinan sama ada mahu mengekalkannya sebagai calon atau menamakan orang lain.

“Kita buat kerja seperti biasa. Sepatutnya ada pemikiran pada setiap komponen BN kita perjuangkan parti tanpa kira siapa calon. Kita jadikan pengajaran apa yang berlaku di Sepang dulu.

“Kalau penyokong tak sokong macam mana kita nak yakinkan rakyat luar sana. Tapi saya tak nafi yang calon main peranan menyumbang kemenangan.

“Jika saya dicalonkan semula jadi, ia satu penghormatan. Namun saya harap bukan saja dapat jadi calon tapi untuk kekal kerusi BN.

“Jadi calon tak bererti apa-apa kalau BN kalah di kerusi lain,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.