ADUN DAP pelawa pembantu Rosmah ke Pulau Pinang pula

Selepas memenuhi jemputan ke Pusat Anak Permata Negara (PERMATA), ADUN DAP Yeo Bee Yin hari ini mengundang pembantu isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor ke Pulau Pinang ekoran dakwaan pentadbiran negeri itu dan ketua menterinya mengamal rasuah.

Jemputan terhadap Rizal itu dibuat pada sidang media selepas sesi taklimat tertutup selama kira-kira dua jam antara wakil rakyat DAP dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program PERMATA, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod dan Penasihat bahagian PERMATA Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahbudin.

“Kita boleh jemput beliau (Rizal) pergi Pulau Pinang untuk adakan satu sesi dialog seperti hari ini dan kita boleh beri penerangan,” kata ADUN Damansara Utama itu.

Selain Yeo, kunjungan tersebut turut dihadiri oleh ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming serta Ketua Wanita MCA, Heng Seai Kie.


Sebelum ini, Yeo dijemput oleh Rizal untuk melawat PERMATA yang dinaungi Datin Seri Rosmah Mansor selepas melahirkan hasrat untuk melihat akaun program tersebut yang dibiayai kerajaan serta ingin mendapat gambaran penuh bagaimana program itu dijalankan.

Sehubungan itu, pada sidang medianya, Yeo memberitahu beliau berterima kasih atas pertemuan yang diadakan pada hari ini walaupun pihaknya dan PERMATA mempunyai perbezaan pandangan.

– M’kini

.